Malaysia, Azerbaijan jalin kerjasama perkukuh industri halal PKS

14/10/2025 - 15:07
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari (kiri) bersama Pengerusi KOBİA, Orkhan Mamadov. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Okt – Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Agensi Pembangunan Perniagaan Kecil dan Sederhana Republik Azerbaijan (KOBİA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri halal antara kedua-dua negara.
HDC dalam satu kenyataan berkata, melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan menjadi pemudah cara untuk aktiviti perdagangan dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia serta Azerbaijan.
Dalam majlis tersebut, HDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari manakala KOBİA diwakili oleh Pengerusinya, Orkhan Mamadov.
“MoU yang ditandatangani di Baku baru-baru ini adalah detik permulaan fasa baharu perkongsian antara Malaysia dan Azerbaijan dengan fokus kepada pertukaran pengetahuan, pembangunan kapasiti serta peningkatan ekosistem halal.
“Di bawah perjanjian itu, HDC dan KOBİA akan melaksanakan inisiatif bersama termasuk pembangunan kapasiti dan latihan untuk PKS halal, penganjuran acara seperti persidangan, roadshow dan seminar untuk berkongsi amalan terbaik.
“Selain itu, kedua-dua pihak akan bertukar maklumat bagi meningkatkan pengetahuan dan pematuhan industri halal, serta sebagai pemudahcara pasaran yang membolehkan syarikat halal Malaysia meneroka peluang di Azerbaijan dan sebaliknya,” kata HDC.
Sementara itu, Hairol Ariffein berkata, kerjasama dengan KOBİA merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha Malaysia untuk membawa ekosistem halal ke peringkat global.
“Gabungan pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem halal yang teratur dengan landskap PKS dan perdagangan Azerbaijan yang berkembang membuka peluang baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua ekonomi,” katanya.
Bagi Pengerusi KOBİA, Orkhan Mamadov pula, beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang baharu bagi perniagaan Azerbaijan untuk menyertai pasaran halal global.
“Kami yakin perkongsian pengetahuan dan program bersama di bawah MoU ini akan mempercepat pertumbuhan perusahaan bersijil halal di Azerbaijan sambil meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia,” katanya.
Kerjasama tersebut selaras dengan Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 yang mahu mewujudkan peluang pasaran baharu dan lebih besar untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia.
Semua strategi itu bakal menjadikan Malaysia sebagai hab halal global terkemuka dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi halal global yang dijangka mencapai AS$5 trilion menjelang 2030.
Eksport halal Malaysia semakin berkembang dengan RM61.79 bilion pada 2024, meningkat 15% berbanding RM53.72 bilion pada 2023.
Hanya dalam separuh pertama 2025, eksport halal melebihi AS$7 bilion (kira-kira RM29.3 bilion), menyumbang kira-kira 16% daripada jumlah eksport negara.
Perdagangan antara Malaysia dan Azerbaijan juga meningkat dengan eksport Malaysia ke Azerbaijan melonjak 173% pada 2024 kepada AS% 24.9 juta. - DagangNews.com
standard

