
KUALA LUMPUR - Malaysia masih belum memiliki kerangka perundangan khusus yang membolehkan pelaksanaan tahanan rumah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, kerajaan kini sedang mengambil langkah awal untuk merangka undang-undang berkaitan selepas Kabinet memberi lampu hijau secara prinsip kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), untuk menyediakan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) sebelum dibawa ke Parlimen.
Saifuddin berkata, cadangan itu dikemukakan sebagai salah satu usaha menangani masalah kepadatan penjara, terutama dengan memberi pilihan kepada tahanan reman yang menepati kriteria untuk berada di kediaman masing-masing sementara menunggu perbicaraan.
Bagaimanapun katanya, keputusan berhubung penempatan itu kelak tetap bergantung kepada pertimbangan mahkamah, manakala pergerakan individu terbabit akan dipantau menggunakan peranti elektronik.
“Bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh menilai sama ada mereka sesuai ditempatkan di rumah sehingga tarikh perbicaraan, dengan pemantauan melalui peranti elektronik.
“Kesalahan jenayah berat tidak akan termasuk dalam mekanisme yang dicadangkan,” katanya dalam video yang dikongsikan menerusi Facebook.
Tegas beliau, cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan Malaysia belum mempunyai akta yang mengawal selia tahanan rumah.
Katanya, tumpuan awal diberikan kepada tahanan reman kerana jumlah mereka turut menyumbang kepada kesesakan yang berlaku di penjara.
Saifuddin berkata, persetujuan prinsip Kabinet itu membolehkan KDN memulakan kerja penyediaan RUU berkaitan, namun cadangan tersebut masih perlu melalui proses perbahasan dan kelulusan Parlimen sebelum boleh dikuatkuasakan.
“Buat masa ini, mekanisme itu belum mempunyai status sebagai undang-undang,” katanya.
Malaysia kini mempunyai 41 penjara dengan jumlah penghuni kira-kira 93,000 orang, sedangkan kapasiti keseluruhan hanya sekitar 75,000.
Saifuddin menjelaskan, penghuni penjara merangkumi individu yang telah dijatuhi hukuman serta tahanan reman yang masih menunggu kes mereka diputuskan mahkamah.
Tahanan reman ialah individu yang telah didakwa tetapi tidak dibenarkan ikat jamin, atau gagal memenuhi syarat yang ditetapkan, lalu terus berada dalam tahanan sehingga perbicaraan selesai.
Sekiranya RUU itu diluluskan kelak, mahkamah boleh menentukan sama ada tahanan reman tertentu sesuai menjalani tempoh menunggu perbicaraan dari rumah, dengan pergerakan mereka dijejaki secara elektronik.
Saifuddin berkata, pendekatan itu diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kapasiti penjara dan membantu pengurusan sistem pemasyarakatan negara secara lebih teratur.
“Tujuan utama cadangan ini adalah untuk menangani kesesakan penjara dan memperkemas pengurusan sistem pemasyarakatan.
“Jika diluluskan, tahanan reman yang layak boleh ditempatkan di rumah masing-masing dengan penggunaan peranti pemantauan sehingga tarikh perbicaraan,” katanya. - Getaran, 20 September 2026






