
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan membenarkan wilayah negara dijadikan tempat perlindungan, persembunyian atau lokasi merancang sebarang kegiatan oleh kumpulan yang menggunakan keganasan serta menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian itu dibuat susulan perkembangan dan beberapa insiden yang berlaku di wilayah selatan Thailand ketika ini.
Menurut beliau, kerajaan turut memberikan perhatian serius terhadap perkembangan berkenaan memandangkan Malaysia sentiasa mendukung usaha membawa keamanan dan perdamaian di selatan Thailand.
“Yang ini kita nak tegaskan, kita tak benarkan mana-mana pihak, jadikan Malaysia sebagai tempat sama ada merancang ataupun persembunyian dan sebagainya dan kita akan berikan segala kerjasama kepada pihak berkuasa Thailand untuk memastikan ini tidak berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled hadir merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Tahun 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Dataran Wisma Pertahanan, di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperketatkan kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan sebarang perkembangan di negara jiran tidak menjejaskan keselamatan negara.
“Dengan perkembangan-perkembangan yang berlaku dan insiden-insiden yang kita dapat lihat satu, saya ingin nyatakan bahawa kita di peringkat ATM kita akan terus memperketatkan kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Thailand dan juga Malaysia.
“Kita tak mahu apa-apa pergerakan yang boleh menjejaskan kedudukan negara kita. Kita tak mahu insiden-insiden seperti itu merebak dan tak dapat dikawal,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kawalan keselamatan bukan sahaja dilakukan di pintu masuk sempadan secara rasmi, malah turut melibatkan kawasan hutan di sepanjang sempadan yang berada di bawah pemantauan ATM.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak atau unsur yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui laluan tidak rasmi.
“Kawasan sepanjang hutan itu dijaga oleh ATM. Kita akan pastikan tiada anasir-anasir yang menyusup sebab keluar masuk Malaysia mesti di border crossing (laluan sempadan) yang formal,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Malaysia kekal komited menyokong usaha perdamaian di selatan Thailand dan sedang menunggu keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan fasilitator baharu bagi membantu proses berkenaan.
Menurutnya, Kementerian Pertahanan telah mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan susulan tamat tempoh perkhidmatan fasilitator terdahulu, Datuk Mohd. Rabin Basir.
“Kita telah pun kemukakan lebih-lebih lagi kerana Datuk Robin, fasilitator yang lama telah pun tamat tempoh perkhidmatannya dan kita menunggu daripada Perdana Menteri keputusan untuk melantik siapa.
“Daripada ATM kita telah cadangkan nama-nama untuk pertimbangan Perdana Menteri dan kita berharap supaya fasilitator ini dapat dilantik supaya kita dapat membantu semua pihak untuk kita membawa perdamaian di selatan Thailand,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan insiden keganasan dan letupan bom di 51 lokasi di selatan Thailand, Sabtu lalu menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan serta meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap kemungkinan serangan susulan.
Serangan yang bermula kira-kira pukul 8 malam itu melibatkan pelbagai bentuk keganasan termasuk pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan di kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand, Chatchai Bangchuad sebelum ini memuji peranan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai bagi menamatkan konflik di selatan negara itu.
Beliau turut berharap Malaysia dapat memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand, khususnya dalam usaha mengesan penjenayah yang dipercayai melarikan diri ke kawasan berhampiran sempadan kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia bukan tempat persembunyian kumpulan ganas, pemberontak appeared first on Kosmo Digital.




