
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak membenarkan negara ini menjadi tempat perlindungan, persembunyian atau merancang tindakan oleh mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan serta menolak proses perdamaian di Selatan Thailand.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
“Kita ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membenarkan wilayah negara ini dijadikan tempat perlindungan atau persembunyian oleh mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan serta menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
“Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Malaysia sebagai tempat merancang sebarang tindakan atau bersembunyi.
“Seperti yang telah saya katakan, Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha perdamaian di selatan Thailand,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Menurut Mohamed Khaled, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperketat kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand susulan perkembangan serta insiden yang berlaku di selatan Thailand.
Katanya, langkah itu bagi menghalang sebarang pergerakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara selain mengelakkan insiden berkenaan merebak sehingga tidak dapat dikawal.
“Unit sempadan melakukan kawalan di pintu keluar masuk rasmi, manakala kawasan hutan di sepanjang sempadan dijaga oleh ATM.
“Kita akan memastikan tiada anasir yang menyusup masuk kerana semua pergerakan keluar masuk Malaysia mesti dilakukan melalui pintu sempadan yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memberikan perhatian serius terhadap perkembangan dan insiden di selatan Thailand yang turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Katanya, Malaysia kekal komited mendukung usaha membawa perdamaian di wilayah berkenaan termasuk menerusi peranan sebagai fasilitator proses perdamaian.
“Beberapa nama daripada ATM telah dikemukakan untuk pertimbangan Perdana Menteri bagi dilantik sebagai fasilitator baharu susulan tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Mohd. Rabin Basir sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand terdahulu.
“Kita berharap fasilitator baharu dapat dilantik supaya Malaysia boleh membantu semua pihak dalam usaha membawa perdamaian di selatan Thailand.
“Kita tahu perkara ini bukan tugas yang mudah kerana terdapat pelbagai kumpulan dan pihak yang perlu dibawa bersama sekiranya mahu memastikan perdamaian dapat dicapai,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, insiden keganasan dan letupan bom di 51 lokasi di selatan Thailand Sabtu lalu menyebabkan penduduk ketakutan dan lebih berwaspada.
Majoriti mereka memilih untuk berkurung di rumah terutama pada waktu malam kerana serangan seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa.
Serangan bermula sekitar pukul 8 malam merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar, selain turut mencederakan orang awam.-UTUSAN
The post Malaysia bukan tempat lindung pihak tolak proses damai Selatan Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






