
JAKARTA: Malaysia mencadangkan penubuhan dan pelancaran majlis Halal ASEAN di Malaysia pada September 2027, bersempena Bulan Halal Kebangsaan, sebagai mekanisme baharu untuk mengukuhkan integrasi ekosistem halal di rantau ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia bersedia menjadi sekretariat majlis berkenaan, manakala Indonesia dicadangkan sebagai Pengerusi sulung, tertakluk kepada persetujuan negara-negara ASEAN.
Beliau berkata, Majlis Halal ASEAN tidak seharusnya sekadar menjadi satu lagi platform pertemuan, sebaliknya perlu berfungsi sebagai mekanisme yang memudahkan pergerakan produk halal merentasi rantau ini melalui pengurangan pertindihan, pengiktirafan yang lebih meluas serta hubungan lebih kukuh antara sistem halal negara anggota.
“Pengiktirafan sahaja tidak mencukupi. Majlis ini juga perlu membantu perniagaan kita berkembang dengan menghubungkan syarikat yang diperakui halal kepada rantaian bekalan serantau, taman halal, pembiayaan, logistik dan akhirnya pasaran baharu,” katanya ketika menjadi panel pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 dekat sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kejayaan Majlis Halal ASEAN perlu diukur berdasarkan keupayaannya mengurangkan halangan, meningkatkan bilangan perniagaan yang merentasi sempadan serta mewujudkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan dalam rantau ini.
Menurutnya, idea penubuhan majlis itu mula dikemukakan Malaysia dan Indonesia pada tahun lalu dan kini tiba masanya untuk ia beralih daripada perbincangan kepada penubuhan sebuah institusi.
“Kita tidak boleh menunggu lebih lama. Ekonomi halal bergerak pantas dan pasaran tidak akan menunggu kita untuk mengatur diri.
“Antara sekarang dan ketika itu, kita perlu menyediakan mandat, tadbir urus dan penyampaian pertama majlis supaya ia bersedia untuk bertindak mulai hari pertama,” katanya.
Mengikut rekod, sektor halal menyumbang hampir AS$20 bilion kepada ekonomi negara setakat Jun lalu bersamaan 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala jumlah syarikat yang mendapat pensijilan halal meningkat 12.4 peratus.
Perbelanjaan pengguna Muslim dalam enam sektor utama ekonomi Islam mencecah AS$2.6 trilion pada 2024 dan dijangka meningkat kepada sekitar AS$3.56 trilion menjelang 2029. Sektor makanan halal sahaja telah menyumbang lebih AS$1.5 trilion dalam perbelanjaan.
Beliau berkata, Majlis Halal ASEAN juga boleh menjadi salah satu asas penting ke arah penubuhan World Halal Development Council yang dicadangkan.
Katanya, perbincangan mengenai usaha itu akan diteruskan pada Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini, selain mengalu-alukan penyertaan semua pihak dalam perbincangan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, dunia tidak kekurangan permintaan terhadap produk halal, sebaliknya memerlukan ekosistem ekonomi halal yang lebih saling berhubung.
“ASEAN sudah mempunyai pengguna, usahawan dan keupayaan. Apa yang kita perlukan sekarang ialah menghubungkan mereka.
“Era pertama halal membina kepercayaan. Era seterusnya mesti membina integrasi, dan integrasi mesti mewujudkan kemakmuran.
“Marilah kita bergerak daripada banyak pasaran halal kepada satu ekonomi halal yang saling berhubung, dan daripada satu ekonomi serantau yang saling berhubung kepada kuasa halal global yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN
The post Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancar September 2027 appeared first on Utusan Malaysia.




