
PETALING JAYA: Proton disahkan sebagai Rakan Mobiliti Rasmi bagi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, susulan majlis penyerahan kenderaan yang berlangsung di Menara Matrade.
Syarikat jenama nasional itu akan menyediakan 20 buah kenderaan, terdiri daripada 10 unit Proton X90 dan 10 unit Proton X70 bagi menyokong keperluan mobiliti delegasi media antarabangsa sepanjang MIHAS 2026.
Kerjasama itu memperkukuh hubungan Proton dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sebagai salah satu pihak berkepentingan utama kerajaan, sekali gus mengukuhkan peranan pengeluar kereta nasional itu dalam menyokong ekosistem perdagangan dan eksport Malaysia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Proton berbangga menjadi Rakan Mobiliti Rasmi MIHAS 2026 dan menyokong platform yang mempunyai skala dan reputasi sebegitu merupakan lanjutan semula jadi kepada identiti syarikat itu sebagai syarikat automotif nasional Malaysia.
“MIHAS menghimpunkan pembeli, delegasi dan wakil media dari seluruh dunia dan kami mahu setiap seorang daripada mereka merasai kejuruteraan serta layanan mesra Malaysia sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam kenderaan kami.
“Selain daripada kenderaan yang kami sediakan, kerjasama ini mencerminkan komitmen lebih luas Proton terhadap agenda perdagangan dan eksport Malaysia.
“Matrade dan MIHAS memainkan peranan penting dalam membuka peluang kepada perniagaan Malaysia di peringkat antarabangsa dan Proton berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.
“Ini di samping memperoleh peluang untuk mempamerkan model-model kami kepada khalayak antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Ketika Proton giat merealisasikan sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini, syarikat terus memperluaskan kehadirannya di pasaran antarabangsa dengan menjadikan eksport sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan.
Beliau berkata, sebagai acara bertaraf global, MIHAS 2026 menyediakan platform yang signifikan kepada Proton untuk meningkatkan keterlihatan serta pengiktirafan jenamanya dalam kalangan pihak berkepentingan antarabangsa.
“Ini selaras dengan usaha syarikat untuk memperkukuh kehadiran jenama di peringkat global dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar automotif nasional yang berorientasikan eksport,” katanya.
Dalam pada itu, bagi lapan bulan pertama 2026, Proton mengeksport sebanyak 6,059 unit kenderaan, melebihi jumlah 6,000 unit yang direkodkan bagi keseluruhan tahun 2025.
Pencapaian itu mencerminkan peningkatan permintaan global terhadap kenderaan yang dihasilkan di kilang di Tanjung Malim, sekali gus mengukuhkan jejak antarabangsa jenama tersebut. –UTUSAN
The post Proton dipilih sebagai rakan mobiliti rasmi MIHAS 2026 appeared first on Utusan Malaysia.




