
PETALING JAYA – Malaysia mencadangkan penubuhan World TVET Council dengan China sebagai tuan rumah tetap bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan ketika beliau menyampaikan ucapan khas pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Vokasional dan Teknikal Dunia (WVTEDC) 2026 di Tianjin, China hari ini.
“Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap Beijing Agreement sebagai platform memperkukuh kerjasama global dalam pembangunan kemahiran dan teknologi.
“Dalam ucapan tadi, saya telah menyatakan sokongan Malaysia terhadap Beijing Agreement dan mencadangkan penubuhan World TVET Council dengan China sebagai tuan rumah tetap, sebagai platform kerjasama antarabangsa yang berterusan dalam pembangunan kemahiran dan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Zahid, kerjasama TVET antara Malaysia dengan China telah membuka ribuan peluang latihan kepada golongan belia negara.
Katanya, kerjasama itu akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Berkemahiran Tinggi (Hi-TVET), khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, semikonduktor dan teknologi masa hadapan.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan anak muda Malaysia menguasai kemahiran yang relevan dengan keperluan industri serta perkembangan teknologi global.
“Bagi saya, kejayaan kerjasama ini akhirnya perlu diukur melalui peluang yang dapat kita buka kepada anak-anak muda, kemahiran yang mereka kuasai dan masa depan lebih baik yang mampu kita bina bersama,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, peluang menyampaikan ucapan di pentas antarabangsa itu merupakan penghormatan kepada Malaysia untuk mengetengahkan kemajuan serta hala tuju TVET negara kepada pemimpin dan delegasi dari seluruh dunia.
Beliau turut berharap usaha berkenaan dapat terus mengangkat TVET Malaysia ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuh daya saing tenaga kerja negara dalam menghadapi cabaran ekonomi dan teknologi masa hadapan.- KOSMO! ONLINE
The post Malaysia cadang tubuh World TVET Council, China tuan rumah tetap appeared first on Kosmo Online.






