Gaji minimum RM2,500 tarik minat belia sertai TVET

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 7:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gaji minimum RM2,500 tarik minat belia sertai TVET
Nordin

IPOH – Kenaikan gaji minimum pekerja separa mahir kepada RM2,500 berpotensi menarik lebih ramai belia menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Kumpulan Senior dan Pengasas TVET Swasta Malaysia, Nordin Abdul Malek berkata, langkah itu mampu meningkatkan minat golongan muda terhadap latihan kemahiran yang menyediakan laluan kepada pekerjaan dan pendapatan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Belanjawan 2027 masih belum memberikan insentif dan inisiatif baharu yang mencukupi untuk memperkukuh penyertaan institusi latihan kemahiran swasta.

“Pengumuman gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir merupakan pendekatan yang baik untuk menggalakkan lebih ramai belia memilih kursus berasaskan TVET seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Namun, kekangan peruntukan pembiayaan latihan akan menyebabkan ramai calon, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak berpeluang mengikuti program kemahiran di pusat latihan swasta,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja baharu dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Langkah itu bertujuan menangani isu upah pekerja mahir yang masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka, memandangkan kadar gaji minimum sedia ada hanya menetapkan paras pendapatan terendah pekerja.

Sementara itu, Nordin berkata, walaupun kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi keseluruhan bidang kemahiran termasuk TVET, peningkatan itu belum memberikan manfaat sewajarnya kepada pusat latihan swasta.

Menurutnya, peruntukan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sebanyak RM500 juta dalam Belanjawan 2027 hanya mampu menampung kira-kira 20,000 pelatih berbanding RM650 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, permintaan dalam kalangan lepasan SPM untuk mengikuti program SKM yang memerlukan pembiayaan PTPK pula melebihi 30,000 orang.

Beliau berkata, keadaan itu dijangka menyebabkan persaingan mendapatkan pembiayaan semakin sengit sekali gus mengehadkan peluang calon yang berminat untuk mengikuti latihan kemahiran.

Sehubungan itu, Nordin mencadangkan kerajaan mempertimbangkan peruntukan tambahan pada awal tahun depan bagi meningkatkan kapasiti pengambilan pelatih di institusi TVET swasta.

Beliau turut mencadangkan penyusunan semula struktur pelaksanaan TVET menerusi pendekatan sinergi awam-swasta bagi memastikan peruntukan kerajaan digunakan secara lebih cekap dan berkesan.

Menurutnya, kerjasama itu berpotensi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan, selain meningkatkan enrolmen pelatih, keberhasilan program dan kebolehpasaran graduan.

“Peruntukan kepada institusi swasta ketika ini masih kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan bajet TVET. Sedangkan, pendekatan sinergi awam-swasta boleh membantu meningkatkan kapasiti latihan dengan penggunaan dana yang lebih berkesan.

“Kita tidak boleh sekadar meningkatkan bajet setiap tahun tanpa perubahan struktur pelaksanaan kerana keberkesanan program dan kos yang lebih efektif perlu diberikan perhatian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nordin yang juga Pengerusi Eksekutif Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) turut membangkitkan isu kelewatan pembayaran insentif kepada pesawah termasuk bantuan penuaian RM50 sehektar yang didakwa masih belum diterima oleh penerima walaupun diumumkan dalam belanjawan terdahulu di sebalik peningkatan kadar Insentif Penuaian Padi kepada RM100 dalam Belanjawan 2027.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan sistem penyampaian bantuan berfungsi dengan berkesan supaya peruntukan yang diumumkan benar-benar sampai kepada golongan sasar dalam tempoh sewajarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved