
PETALING JAYA: Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang menerusi peningkatan perkongsian risikan serta perluasan operasi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya isu penipuan siber dan pengedaran dadah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan dua hala dengan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China, Wang Xiaohong.
Beliau berkata, pertemuan tersebut merupakan kesinambungan daripada siri perbincangan sebelum ini bagi memastikan hubungan akrab yang terjalin sekian lama terus menterjemahkan tindakan konkrit dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Katanya, Malaysia turut mengemukakan cadangan penubuhan Kumpulan Kerja Bersama (Joint Working Group) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa penguatkuasaan dadah China.
“Alhamdulillah, cadangan penubuhan Joint Working Group ini telah menerima maklum balas yang amat positif daripada pihak China.
“Hasil utama pertemuan ini juga menyaksikan persetujuan kedua-dua negara untuk mempertingkat perkongsian risikan, memperkukuh keupayaan agensi penguatkuasaan serta memperluas operasi membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama rapat antara kedua-dua pihak sebelum ini telah terbukti membuahkan hasil signifikan, termasuk kejayaan rampasan lebih 1.03 tan fentanyl citrate menerusi Operasi Black Ash dan Blackwood pada Ogos tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa jenayah moden kini tidak lagi terikat dengan garis sempadan fizikal berikutan sindiket yang semakin licik dan pantas memanfaatkan kemajuan teknologi baharu.
Justeru, beliau menyifatkan pemerkasaan kerjasama antarabangsa sebagai langkah strategik yang kritikal supaya tindakan penguatkuasaan sentiasa berada selangkah di hadapan ancaman sindiket terancang.
“Bagi Malaysia, keutamaan kita amat jelas iaitu untuk melindungi keselamatan rakyat dan membanteras sindiket jenayah dengan lebih berkesan.
“Pada masa sama, kita memastikan setiap bentuk kerjasama dengan negara luar sentiasa berteraskan prinsip penghormatan terhadap kedaulatan serta kepentingan negara,” katanya. –UTUSAN
The post Malaysia, China perukuh kerjasama, tangani penipuan siber dan pengedaran dadah appeared first on Utusan Malaysia.






