EP Manufacturing dan Hebei Shichang dari China jalin usaha sama labur RM100 juta bina kilang tangki minyak Proton

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 9:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EP Manufacturing dan Hebei Shichang dari China jalin usaha sama labur RM100 juta bina kilang tangki minyak Proton Image from: EP Manufacturing dan Hebei Shichang dari China jalin usaha sama labur RM100 juta bina kilang tangki minyak Proton amree12/10/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt – EP Manufacturing Berhad (EPMB) menjalin kerjasama strategik dengan syarikat China, Hebei Shichang Auto Parts Co Ltd, melibatkan pelaburan RM100 juta bagi membangunkan kilang pembuatan tangki minyak plastik untuk Proton Holdings Berhad.

 

Langkah itu dilaksanakan menerusi penubuhan usaha sama (JV) EP Shichang Automotive Systems Sdn Bhd yang akan memperkukuh keupayaan industri komponen automotif tempatan, selain membuka peluang kepada Malaysia berperanan sebagai hab pembuatan dan eksport serantau.

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut, kemudahan pembuatan baharu itu akan dibangunkan di hab operasi EPMB di Batang Kali, Selangor, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 200,000 unit.

 

Penghantaran komponen berkenaan kepada kilang Proton di Tanjung Malim, Perak dijadualkan bermula pada Mac 2027, sekali gus menyokong keperluan pengeluaran pengeluar automotif nasional itu.

 

"Di bawah perjanjian yang ditandatangani pada 9 Oktober 2026, EPMB akan memegang 51% kepentingan dalam syarikat JV tersebut, manakala Hebei Shichang memiliki baki sebanyak 49%," jelasnya.

 

Hebei Shichang, yang disenaraikan di Bursa Saham Beijing, mengkhusus dalam penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran sistem tangki minyak plastik. Antara pelanggan syarikat itu termasuk pengeluar automotif China seperti Geely, Chery, BYD, SAIC, FAW, Changan dan BAIC.

 

EP Manufacturing_DagangNews2026

 

Pengarah Urusan Besar Pembangunan Perniagaan EPMB, Mohd Seth Sulaiman berkata, kerjasama itu akan memperkukuh keupayaan kumpulan dalam menghasilkan komponen automotif berteknologi tinggi, seiring usaha beralih kepada segmen pembuatan bernilai tambah lebih tinggi.

 

Menurutnya, EPMB yang menjadi rakan kongsi Proton selama hampir 40 tahun itu menyambut baik perkembangan platform Advanced Modular Architecture (AMA) dan melihat JV sebagai peluang untuk menyokong peluasan platform berkenaan di pasaran tempatan serta antarabangsa.

 

"Tangki minyak plastik merupakan komponen yang kompleks dari segi teknikal kerana memerlukan pembinaan berbilang lapisan bagi memenuhi piawaian keselamatan, tekanan dan prestasi secara ketat," jelas Mohd Seth.

 

Kerjasama dengan Hebei Shichang itu turut membolehkan EPMB meningkatkan keupayaan pembuatan tangki minyak sedia ada melalui penerapan teknologi yang memenuhi keperluan Proton dan Geely, termasuk bagi pasaran eksport.

 

Mohd Seth berkata, perniagaan baharu itu berpotensi menjadi penyumbang hasil yang signifikan kepada EPMB, seiring dengan operasi pembuatan tempat duduk automotif kumpulan, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan automotif. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved