Malaysia dijangka perlukan 9GW kapasiti kuasa gas menjelang 2032

LocalEnvironment
8 Sep 2026 • 4:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia dijangka perlukan 9GW kapasiti kuasa gas menjelang 2032 Image from: Malaysia dijangka perlukan 9GW kapasiti kuasa gas menjelang 2032 johardy08/09/2026 - 16:11

KUALA LUMPUR 8 Sept - Malaysia menjangkakan kira-kira sembilan gigawatt (GW) kapasiti penjanaan kuasa berasaskan gas akan digunakan menjelang 2032 bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat ketika negara bergerak menamatkan penggunaan arang batu secara berperingkat.

 

Tambahan kapasiti itu diperlukan dalam peralihan sistem tenaga negara, dengan loji janakuasa arang batu terakhir dijangka ditamatkan pada 2044, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

 

Permintaan elektrik pula dijangka terus meningkat, bukan sahaja disebabkan pertumbuhan penduduk tetapi juga perkembangan sektor yang menggunakan tenaga pada kadar tinggi, khususnya pusat data.

 

“Dari segi unjuran permintaan tenaga, sudah tentu kita melihat corak peningkatan. Satu daripadanya ialah pertumbuhan penduduk.

 

“Tetapi yang kedua, terdapat juga peningkatan penggunaan tenaga oleh sektor penggunaan tinggi seperti pusat data,” katanya kepada pemberita selepas Forum Energy Regulatory Insights 2026 di sini hari ini.

 

Cuaca panas turut tingkatkan permintaan elektrik

Akmal Nasrullah berkata, perubahan cuaca dan iklim turut mempengaruhi corak penggunaan elektrik apabila suhu lebih tinggi meningkatkan penggunaan sistem penyejukan serta penyaman udara.

 

Justeru katanya, pengurusan permintaan akan menjadi sama penting dengan memastikan bekalan mencukupi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

 

Malaysia juga perlu memastikan peningkatan kapasiti penjanaan disertai pelaburan dalam grid dan infrastruktur tenaga supaya sistem elektrik kekal mampu milik, selamat dan mampan.

 

“Saya fikir untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia perlu terus berdisiplin untuk memastikan sistem kita sentiasa dinaik taraf, bukan sahaja dari segi kuasa yang dijana, tetapi juga grid dan infrastruktur,” katanya.

 

Kecekapan tenaga jimat RM16.1 bilion

Akmal Nasrullah turut menggariskan tiga keutamaan bagi fasa seterusnya pembaharuan tenaga negara iaitu mewujudkan pasaran tenaga yang kompetitif dan progresif, memodenkan grid serta meletakkan kecekapan tenaga sebagai sumber tenaga tersendiri.

 

Pemodenan grid di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), katanya, perlu dianggap sebagai infrastruktur ekonomi penting bagi mempercepat penyambungan pelaburan, meningkatkan kecekapan sistem dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang andal.

 

Pada masa sama, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) pertama mencatat penjimatan elektrik terkumpul sebanyak 60,886 gigawatt-jam dari 2016 hingga 2025, bersamaan penjimatan RM16.1 bilion dan melebihi sasaran asal.

 

Di bawah NEEAP 2.0, Malaysia menyasarkan pengurangan permintaan tenaga sebanyak 11.6% berbanding senario perniagaan seperti biasa menjelang 2035, sekali gus mengurangkan kos tenaga dan tekanan terhadap sistem elektrik negara. - BERNAMA

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved