
PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas sebanyak 1,080 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai kapasiti bernilai kira-kira RM300,000 dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian kecil di Lukut, di sini, semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 6 petang itu turut membawa kepada penahanan tiga individu berusia antara 20-an hingga 30-an.
Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemantauan dan mendapati aktiviti pemindahan LPG sedang dijalankan di dalam premis berkenaan.
“Pasukan penguat kuasa kemudian menyerbu premis itu dan menahan tiga individu yang terdiri daripada seorang lelaki warga Indonesia berusia 20-an, seorang lelaki Rohingya berusia 30-an dan seorang lelaki tempatan berusia 20-an untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, kami turut menemukan sejumlah 1,080 tong LPG pelbagai kapasiti serta sebuah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Zahir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. –UTUSAN
The post KPDN rampas 1,080 tong LPG bernilai RM300,000 appeared first on Utusan Malaysia.






