Malaysia Dikenakan Tarif Asas 25% Oleh Amerika – Syarikat Malaysia Digesa Buka Kilang Di Sana

TechnologyDigital
8 Jul 2025 • 6:40 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pagi ini Presiden Trump mula menghantar surat kepada ketua-ketua negara dunia berkenaan tarif baharu yang akan berkuatkuasa 1 Ogos depan. Ini adalah selepas ia ditangguhkan dua kali bagi memuktamadkan perbincangan perdagangan yang sedang dilakukan dengan beberapa negara. Di Truth Social, Trump berkongsi surat yang dihantar kepada YDPA Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam utusan beliau, Malaysia kini dikenakan tarif asas 25% yang adalah lebih tinggi berbanding 24% yang diumumkan April lalu.

Trump turut mengatakan sebarang usaha untuk memintas tarif akan dikenakan balasan tarif yang lebih tinggi. Tambah beliau lagi, kadar tarif yang dikenakan masih tidak mencukupi untuk mengimbangi defisit perdagangan antara kedua-dua negara. Syarikat-syarikat Malaysia digesa membuka kilang di Amerika Syarikat sekiranya ingin mengelakkan tarif-tarif yang dikenakan. Jika mereka berminat, kelulusan boleh diberikan dalam masa beberapa minggu sahaja.

image is not available

Trump turut mengingatkan YDPA bahawa jika Malaysia mengenakan tarif berbalik ke atas produk Amerika, jumlah yang sama akan ditambah pada tarif asas 25%. Tarif ini akan hanya dikurangkan jika Malaysia bersetuju mengurangkan tarif dan mengubah polis perdagangan yang dikenakan ke atas Amerika.

Kesemua surat yang dihantar kepada ketua-ketua negara pagi ini menggunakan templat yang sama dengan hanya nama ketua negara dan nilai tarif dikenakan sahaja diubah. Secara keseluruhan 15 surat telah diutuskan oleh Trump pagi ini.

Kadar tarif asas 25% yang dikenakan ke atas Malaysia besar kemungkinan adalah kerana nilai Dollar yang menyusut sejak seminggu lalu. Formula yang digunakan Amerika sebelum ini ialah mengira defisit perdagangan antara mereka dan negara yang ingin dikenakan tarif. Permintaan Trump untuk syarikat Malaysia membuka kilang di Amerika adalah tidak masuk akal. Malaysia mengeksport barangan elektrik (TV, mesin basuh, Mac Mini), produk getah, mesin, alat ganti, kelengkapan saintifik dan bahan kimia yang lebih murah berbanding jika ia dikilangkan di sana.

Nasib Malaysia ialah sama dengan Korea Selatan, Jepun, Kazakhstan dan Tunisia yang turut dikenakan tarif 25%. Negara jiran Myanmar dikenakan 40%, Laos 40%, Thailand 36%, Kemboja 36%, Serbia 35%, Bangladesh 35%, Indonesia 32%, Afrika Selatan 30%, dan Bosnia 30%.