
PUTRAJAYA- Indeks pencemaran udara (IPU) di Putrajaya terus mencatatkan bacaan tidak sihat apabila merekodkan angka 171 setakat pukul 8 pagi tadi, sekali gus menyebabkan rata-rata penduduk di sini terpaksa bernafas dalam keadaan udara berbau asap.
Selain itu, keadaan sekitar di pusat pentadbiran itu juga kelihatan seakan ‘diselimuti’ asap selepas beberapa bangunan kementerian tidak dapat dilihat dengan jelas apabila berada pada kedudukan jauh.
Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ira, keadaan jerebu yang makin teruk menyebabkan udara di sekitar Putrajaya berbau seperti asap selain berisiko mengundang masalah kesihatan.
“Hari ini jerebu makin teruk, saya mula rasa mahu demam, sakit tekak dan hidung berair. Udara pula berbau seperti asap.
“Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, saya sedang kurangkan aktiviti luar dan sentiasa memasang penapis udara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Sementara itu, seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Zahril menyifatkan kualiti udara di Putrajaya berada pada tahap tidak baik hingga menyebabkan beliau mengalami masalah sesak dada.
“Dua hari lepas ketika pulang bekerja dengan menunggang motosikal, saya rasa dada terasa berat dan sukar bernafas selain sering batuk berikutan jerebu yang teruk,” jelasnya.
Untuk maklumat, sebanyak 34 lokasi di seluruh negara merekodkan IPU tidak sihat setakat pukul 8 pagi tadi.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara, Jabatan Alam Sekitar mendapati Johan Setia merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 198.
Ia a diikuti Kuching dengan bacaan IPU pada tahap 192, manakala Samarahan (185), Nilai dan Ibu Pejabat Polis Daerah Serian (181) selain Seri Manjung (175), Tasek Ipoh (173), Putrajaya dan Seremban (171) serta Shah Alam (170).
Sementara itu, 31 lagi lokasi di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu teruk di Putrajaya, buka tingkap bau asap appeared first on Kosmo Online.





