Malaysia Gesa Dana Perubahan Iklim Sampai Terus Kepada Komuniti, Bukan Sekadar Janji Atas Kertas

LocalEnvironment
10 Nov 2026 • 3:58 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

ANA 16

Isu perubahan iklim bukan sekadar tentang suhu dunia yang semakin panas atau cuaca ekstrem, tapi juga tentang pengurusan sisa harian, bekalan makanan dan tempat tinggal yang selamat turut memainkan peranan penting dalam memastikan kehidupan masyarakat lebih terjamin.

Sebab itu, Malaysia menggesa supaya pembiayaan iklim global disalurkan secara terus kepada komuniti, selain memperkukuh penglibatan orang ramai dalam menangani perubahan iklim.

Perkara itu disuarakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-31 (COP31) di Antalya, Turkiye pada 9 November 2026.

Menurut beliau, komitmen yang dibincangkan di peringkat antarabangsa perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar yang memberi kesan kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pengurusan sisa mampan dan perumahan berdaya tahan iklim.

Lebih 27,600kg Minyak Masak Terpakai Berjaya Dikumpul Dalam Sehari

Bercakap pada pelancaran rasmi kempen Rethink Food. Reduce Waste. – The #OneBillion Challenge, Nga Kor Ming berkata Malaysia komited memperkukuh ekonomi kitaran dengan menggalakkan penglibatan isi rumah, inisiatif komuniti dan amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

Beliau berkata, pengalaman Malaysia menerusi inisiatif Pengasingan Sisa di Punca (SAS) membuktikan bahawa usaha menjaga alam sekitar boleh bermula dari rumah.

Menurutnya, keluarga dan komuniti di Malaysia berjaya mencatatkan rekod kebangsaan apabila mengumpulkan lebih 27,600 kilogram minyak masak terpakai dalam tempoh sehari pada tahun lalu.

COP31

Minyak masak terpakai yang biasanya dianggap sebagai sisa ini sebenarnya boleh diproses menjadi sumber bernilai, termasuk bahan api penerbangan mampan dan tenaga hijau.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa sisa isi rumah yang dihasilkan setiap hari mampu ditransformasikan menjadi sumber bernilai, termasuk bahan api penerbangan mampan dan tenaga hijau, sekiranya semua pihak berganding bahu.”

Dunia Dijangka Berdepan El Nino Super, Bekalan Makanan Turut Berisiko

Dalam masa sama, Nga Kor Ming berkata usaha ini penting kerana dunia dijangka berdepan fenomena El Nino super yang boleh membawa cuaca ekstrem pada tahun hadapan, sekali gus meningkatkan risiko terhadap bekalan makanan global.

Keadaan ini lebih membimbangkan apabila menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 643 juta penduduk dunia atau 7.8 peratus daripada populasi global kini mengalami kelaparan kronik dan ketidakjaminan makanan yang teruk.

Malah, sebanyak 25.8 peratus penduduk dunia pula tidak mempunyai akses secara berkala kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi.

EL NINO

Mengulas perkara itu, Nga Kor Ming menegaskan bahawa dunia tidak boleh lagi sekadar mengeluarkan seruan untuk bertindak tanpa langkah pencegahan yang sewajarnya.

“Seruan untuk bertindak semata-mata tidak lagi memadai. Pemimpin dunia perlu menyedari betapa seriusnya krisis yang bakal dihadapi dan mengambil langkah pencegahan sebelum semuanya terlambat.”

Malaysia Perkukuh Ekonomi Kitaran Menerusi Beberapa Inisiatif

Bagi memastikan usaha mengurangkan sisa dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, Malaysia turut memberi penekanan kepada tanggungjawab bersama menerusi Blueprint Ekonomi Kitaran Sisa Pepejal di Malaysia 2025-2035 serta Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Selain itu, inisiatif perintis Daerah Sisa Sifar (Zero Waste District) turut dilaksanakan di KLCC dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan sisa.

Perumahan Juga Perlu Jadi Sebahagian Daripada Agenda Perubahan Iklim

Bukan itu sahaja, dalam sesi berasingan bertajuk Housing at the Heart of Climate Action: Moving from Commitments to Sanctuary anjuran UN-Habitat, Nga Kor Ming turut menggesa supaya isu perumahan diberi perhatian lebih besar dalam agenda perubahan iklim global.

Menurut beliau, perumahan berdaya tahan iklim tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai komoditi ekonomi atau penyumbang kepada pelepasan karbon, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai hak asasi manusia dan kemudahan awam yang penting.

Beliau turut merujuk kajian UN-Habitat terhadap komitmen sumbangan yang ditentukan di peringkat nasional (NDC 3.0), yang mendapati sebanyak 69 peratus komitmen iklim negara kini merangkumi aspek perumahan bandar.

“Namun, komitmen tersebut perlu disusuli pelaksanaan yang berkesan, khususnya bagi melindungi lebih 1.1 bilion penduduk dunia yang tinggal di kawasan penempatan tidak formal dan komuniti rentan.”

Jelaslah bahawa usaha menangani perubahan iklim bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. 

Daripada menguruskan sisa di rumah hinggalah memastikan kediaman lebih selamat daripada kesan cuaca ekstrem, setiap usaha perlu diterjemahkan kepada tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.

Sumber: Siaran Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved