Malaysia hantar pegawai TLDM berlatih atas kapal Gowind UAE

30 Dec 2025 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia hantar pegawai TLDM berlatih atas kapal Gowind UAE image is not available zakisalleh30/12/2025 - 09:55 Tentera laut UAE memiliki 2 kapal korvet Gowind yang dibina di Perancis. Oleh Zaki Salleh editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Dis - Sekumpulan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal dihantar ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menjalani latihan di atas kapal kelas Gowind milik negara itu.

 

Negara itu mengoperasikan 2 buah korvet kelas Gowind iaitu Bani Yas yang dilancarkan pada 2021 dan Al Emarat setahun kemudian.

 

Penghantaran pegawai ini sebahagian daripada persediaan pihak TLDM mengoperasikan kapal tempur pesisir (LCS) KD Maharaja Lela yang menggunakan teknologi sama. 

 

Kerjasama latihan tersebut antara yang dibincangkan antara Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin dan rakan sejawat, Mohamed Mubarak Fadhel Al Mazrouei semasa lawatan kerja beliau ke negara tersebut.

 

image is not available
Mohamad Khaled dan rakan sejawat, Mohamed Mubarak Fadhel Al Mazrouei menandatangani MoU kerjasama semasa lawatan kerja ke UAE. 

 

Cadangan ini disambut baik oleh pihak UAE dan akan diteliti dengan lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan yang bersesuaian.

 

Kerajaan UAE pada tahun 2019 telah menempah dua kapal tersebut yang dibina oleh firma Naval Group di Lorient, Perancis. 

 

Kedua-dua korvet ini juga merupakan kapal perang terbesar dalam armada tentera laut UAE.

 

Sistem persenjataan utama pada korvet ini adalah peluru berpandu pertahanan udara MBDA VL MICA, sistem peluru berpandu MBDA MM-40 Block 3, torpedo antikapal selam, meriam utama Leonardo 76/62mm Super Rapido dan meriam M230LF 30mm.

 

image is not available
Bani Yas kapal korvet pertama tentera laut UAE.

 

image is not available

 

image is not available

 

Bezanya, korvet Gowind UAE sedikit kecil berbanding LCS KD Maharaja Lela dengan panjang 102 meter dan berat 2,800 tan.

 

Malaysia sebaliknya memilih rekaan kelas Gowind tetapi bersaiz frigat dengan panjang 111 meter dan berat 3,100 tan.

 

Walaupun Malaysia merupakan negara pertama yang memilih kapal perang kelas Gowind buatan Perancis pada 2012, namun kelewatan menyiapkan projek LCS menyebabkan ia belum dapat dioperasikan.

 

Sementara itu, MINDEF dalam kenyataan memberitahu, memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama pertahanan yang dimeterai antara Malaysia-UAE ini menandakan satu lagi perbatuan penting dalam hubungan strategik kedua-dua negara.

 

Menurut kenyataan itu, jika sebelum ini kerjasama lebih tertumpu kepada aspek ketenteraan, MoU ini kini meluaskan skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh, 

 

image is not available
Dua kapal LCS yang masih dalam proses pembinaan iaitu KD Maharaja Lela (2501) dan KD Raja Muda Nala (2502).

 

image is not available

 

Ia selari dengan aspirasi kedua-dua negara untuk membina hubungan diplomasi pertahanan yang lebih erat, moden dan berpandangan jauh.

 

“Melalui MoU ini, Malaysia dan UAE menzahirkan komitmen bersama untuk, antara lain, menggalakkan penyelidikan pertahanan bersama, meneroka pengeluaran produk pertahanan, dan membangunkan keupayaan baharu yang memberi manfaat timbal balik.

 

“MoU ini juga bakal menjadi jambatan penting bagi memulakan libat urus industri dengan segera, khususnya dalam mengenal pasti bidang tumpuan bersama dan potensi projek berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan, demi memperkukuh ekosistem industri pertahanan di kedua-dua negara.

 

image is not available
Proses pemasangan meriam utama pada kapal KD Maharaja Lela.

 

“Pada masa yang sama, Malaysia dan UAE turut komited untuk meningkatkan koordinasi latihan ketenteraan dan perkongsian kepakaran, termasuk inisiatif latihan bersama yang dapat memperkukuh kesiapsiagaan, operasi bersama dan keupayaan angkatan kedua-dua negara,” ujar kenyataan tersebut.

 

 

 

 

 

 

 

 

MoU ini diharap akan membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE yang lebih kukuh, saling melengkapi dan berpaksikan keamanan serta kestabilan serantau dan sejagat. - DagangNews.com

Terkini standard