
PETALING JAYA – Malaysia dan India bersetuju memperluas kerjasama dalam industri semikonduktor dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara dalam sektor strategik berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara fokus pertemuannya bersama Perdana Menteru India, Narendra Modi di Hyderabad House, New Delhi hari ini.
Menurutnya, Malaysia dan India mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dan berpotensi digembleng menerusi kerjasama industri serta integrasi rantaian bekalan.
“Bicara kami memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam sektor strategik, khususnya industri semikonduktor.
“Malaysia dan India memiliki kekuatan yang saling melengkapi dan boleh digembleng melalui kerjasama industri, integrasi rantaian bekalan, pembangunan bakat serta pelaburan dua hala,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut membangkitkan keperluan memudah cara dan mempercepat kemasukan barangan eksport Malaysia ke pasaran India.
Katanya, langkah tersebut penting bagi membuka ruang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk memanfaatkan potensi pasaran India yang besar dan berkembang pesat.
Pada masa sama, beliau berkata, kedua-dua pemimpin sepakat meneruskan momentum hubungan erat Malaysia-India selain memperteguh persahabatan yang berakar daripada sejarah panjang dan hubungan akrab rakyat kedua-dua negara.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Modi atas layanan istimewa yang diberikan sejak delegasi Malaysia tiba di New Delhi malam tadi.
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh persahabatan ini yang saling menguntungkan demi kemakmuran rakyat kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia, India mahu perkukuh kerjasama industri semikonduktor appeared first on Kosmo Online.






