
PETALING JAYA – Malaysia dan India komited memperkukuh hubungan ekonomi menerusi langkah konkrit dan praktikal bagi meningkatkan perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari India, Piyush Goyal di New Delhi hari ini.
Menurut beliau, perbincangan berlangsung secara produktif dan konstruktif dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kami berkongsi komitmen yang kukuh untuk menyelesaikan perkara-perkara tertunggak antara kedua-dua negara serta memastikan hubungan ekonomi Malaysia-India terus berkembang secara positif dan saling menguntungkan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Johari berkata, hubungan baik yang terjalin bersama Piyush Goyal diharap dapat terus dipererat bagi memperdalam kerjasama ekonomi Malaysia-India.
Katanya, kerjasama berkenaan juga penting dalam usaha memperluas perdagangan dua hala selain membuka lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara.
“Saya berharap hubungan baik dengan Menteri Piyush Goyal dapat terus dipererat bagi memperdalam kerjasama ekonomi Malaysia-India, memperluas perdagangan dua hala dan membuka lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Malaysia, India perhebat kerjasama ekonomi, perdagangan appeared first on Kosmo Online.






