Malaysia minta penjelasan AS berhubung sekatan cip AI, kata Johari

LocalTechnology
18 Nov 2026 • 6:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia minta penjelasan AS berhubung sekatan cip AI, kata Johari Image from: Malaysia minta penjelasan AS berhubung sekatan cip AI, kata Johari hamden18/11/2026 - 18:34

KUALA LUMPUR 18 Nov - Malaysia sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung sekatan baharu terhadap cip kecerdasan buatan (AI), khususnya keperluan pelesenan serta penyediaan perkhidmatan pusat data kepada pihak ketiga, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Beliau berkata, Malaysia sedang berhubung dengan pihak berkuasa AS, termasuk Kedutaan AS dan wakil perdagangan negara itu, bagi mendapatkan butiran rasmi mengenai peraturan berkenaan serta implikasinya terhadap pengendali pusat data di negara ini.

 

Katanya, kerajaan akan memaklumkan kesemua 117 projek pusat data yang diluluskan di Malaysia bagi memastikan pematuhan sebaik sahaja Washington menyampaikan keperluan berkenaan secara rasmi.

 

Sebahagian daripada projek pusat data itu sudah beroperasi, manakala selebihnya masih dalam pembinaan.

 

Johari berkata, pengendali yang ingin mendapatkan unit pemprosesan grafik (GPU) keluaran AS untuk pusat data mereka perlu mematuhi peraturan negara itu, termasuk keperluan pelesenan dan prosedur usaha wajar yang dikenakan terhadap pembeli.

 

"Jika anda mahukan cip GPU dari AS untuk pusat data anda, anda perlu mematuhi peraturan dan undang-undang AS. Sesiapa yang bersedia mematuhinya, sila patuhi, kemudian anda boleh membeli cip itu," katanya kepada wartawan Malaysia di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzen, China.

 

Keperluan pelesenan dan pemeriksaan pembeli

Beliau berkata, pembeli yang pelanggan akhirnya terdiri daripada syarikat AS atau penyedia perkhidmatan awan berskala besar (hyperscaler) boleh mendapatkan pengesahan bagi keperluan pelesenan mereka.

 

Bagaimanapun, transaksi yang melibatkan pelanggan dari negara lain mungkin memerlukan usaha wajar dan pemeriksaan kenali pelanggan anda (KYC) yang lebih menyeluruh oleh pihak berkuasa AS.

 

Johari berkata, Malaysia bukan pengeluar cip berkenaan, sebaliknya berperanan memudahkan operasi pusat data. Oleh itu, pengendali yang menggunakan GPU keluaran AS perlu mematuhi peraturan yang mengawal penggunaan teknologi tersebut.

 

Mengenai dakwaan bahawa Malaysia digunakan sebagai hab pemindahan penghantaran (trans-shipment) cip AI yang dikenakan sekatan, beliau berkata siasatan masih dijalankan.

 

Beliau menegaskan bahawa kerajaan masih belum menerima bukti dokumentari yang menunjukkan penyewa pusat data memperdagangkan atau mengeksport semula cip berkenaan.

 

Katanya, siasatan akan melibatkan semakan dengan Jabatan Kastam bagi menentukan sama ada terdapat GPU yang dieksport semula, termasuk mengenal pasti pihak terlibat serta meneliti manifes penghantaran dan pengisytiharan berkaitan.

 

Kerajaan siasat dakwaan eksport semula cip AI

"Saya masih belum melihat dokumentasi yang menunjukkan sebahagian pemain ini, iaitu penyewa yang mengendalikan pusat data, memperdagangkan cip berkenaan. Saya masih belum melihat dokumen itu.

 

"Jika mereka mengeksport semula, kami mahu mengetahui pihak yang terlibat dan mereka perlu mengemukakan manifes yang diserahkan. Hanya selepas itu kami boleh mengambil tindakan selanjutnya. Kami tidak boleh membuat tuduhan sewenang-wenangnya," katanya.

 

Johari berkata, kerajaan sedang menyiasat bagi menentukan sama ada transaksi sedemikian berlaku, termasuk bila ia dilakukan, jumlah cip yang terlibat serta pihak yang bertanggungjawab.

 

Beliau berkata, AS sebagai pengeluar cip juga perlu menjalankan usaha wajar terhadap pembeli dan memaklumkan kepada Malaysia mengenai syarikat yang berhasrat membawa masuk GPU ke negara ini untuk operasi pusat data, bagi membolehkan pihak berkuasa memantau penggunaannya.

 

Johari berkata, Malaysia kekal komited memastikan perniagaan yang beroperasi di negara ini mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan, termasuk peraturan yang ditetapkan negara lain bagi melindungi harta intelek serta teknologi strategik.

 

Katanya, Malaysia mengalu-alukan pelaburan pusat data, namun pengendali perlu mematuhi peraturan berkaitan cip sekiranya mahu meneruskan operasi di negara ini.

 

Sekatan AS tidak semestinya jejas daya tarikan pelaburan

"Nasihat saya kepada semua pengendali pusat data di Malaysia, jika anda mahu terus menjalankan perniagaan di sini, anda mesti mematuhi peraturan dan undang-undang AS. Jika anda tidak bersedia untuk mematuhinya, maka anda tidak sepatutnya beroperasi di Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata, sekatan baharu AS itu tidak semestinya menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, namun boleh memberi implikasi kepada pengendali yang gagal mematuhinya, khususnya dari segi mendapatkan pelanggan.

 

Johari berkata, Malaysia turut mendapatkan penjelasan mengenai sekatan terbaharu yang meliputi penyediaan perkhidmatan pusat data kerana peraturan itu dilihat bukan sahaja membabitkan eksport semula GPU secara fizikal, malah penggunaan kapasiti pengkomputeran untuk pihak ketiga.

 

Katanya, Malaysia masih belum menerima garis panduan rasmi mengenai perkara itu dan sedang meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa AS bagi memahami skop sekatan serta kaedah pemantauan pematuhan.

 

"Kami belum menerima apa-apa maklumat daripada AS selain daripada perkara yang kami baca dalam media. Inilah sebabnya komunikasi akan diteruskan bagi memastikan kami mendapat garis panduan yang jelas mengenai penjualan cip GPU dan penyediaan perkhidmatan pusat data," katanya.

 

Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Isnin memperkenalkan peraturan baharu yang menetapkan sekatan terhadap eksport cip ke pusat data di luar negara yang membolehkan syarikat China mengakses cip AI canggih untuk melatih model kecerdasan buatan mereka.

 

Peraturan itu turut mewajibkan syarikat di Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Brazil memohon lesen eksport AS bagi mendapatkan cip paling canggih, bagi mengurangkan risiko cip berkenaan disalurkan secara tidak sah kepada pihak lain. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved