Malaysia Juara Dunia! Skuad Kuadran Tundukkan India 2-0 Di Final Piala Dunia Sepak Takraw 2026

LocalSports
20 May 2026 • 7:09 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Malaysia Juara Dunia! Skuad Kuadran Tundukkan India 2-0 Di Final Piala Dunia Sepak Takraw 2026

KUALA LUMPUR – Skuad kuadran negara mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas menewaskan India 2-0 pada aksi final yang berlangsung penuh debar di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong tempatan, Malaysia yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan aksi cemerlang untuk menghadiahkan gelaran dunia buat negara.

India yang menurunkan Ram Kumar Sharma, Sorokhaibam Malemnganba Singh, Yumnam Akash dan Bobby Kumar terlebih dahulu memberi tekanan sejak awal permainan hingga menyebabkan skuad negara sedikit bergelut mencari rentak.

Namun, ketenangan serta pengalaman dimiliki pemain negara menjadi pemisah apabila Malaysia berjaya menutup set pertama dengan kemenangan tipis 17-15.

Set Kedua Milik Malaysia

Kejayaan pada set pembukaan nyata membakar semangat skuad negara yang tampil lebih kemas dan tersusun pada set kedua.

Malaysia terus menguasai permainan sambil mengekang kebangkitan India sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-10 sekali gus mengesahkan gelaran juara dunia kekal milik negara.

Kejayaan itu turut mengukuhkan dominasi Malaysia selepas sebelum ini mempertahankan status selaku juara Piala Asia.

Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil peningkatan prestasi pemain yang berjaya mengawal tekanan pada aksi final.

“Alhamdulillah atas kejayaan pasukan kuadran kita malam ini. Prestasi pemain menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa berbanding kejohanan terdahulu.

“Walaupun berada dalam tekanan, pemain berjaya menampilkan aksi terbaik dan kita harap momentum ini diteruskan untuk acara berpasukan yang membuka gelanggang esok,” katanya.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas kekecewaan kem negara apabila regu negara sebelum ini gagal mara ke final selepas tewas 0-2 kepada Myanmar. – The Malaysian Update

The post Malaysia Juara Dunia! Skuad Kuadran Tundukkan India 2-0 Di Final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article