Raja Kuadran! Malaysia Tundukkan India, Julang Piala Dunia Sepak Takraw 2026

20 May 2026 • 10:19 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Skuad kuadran negara muncul juara dunia selepas menewaskan India 2-0 pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kuartet negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan aksi penuh bertenaga untuk menghadiahkan kemenangan straight set 17-15, 15-10.

Perlawanan akhir berlangsung sengit terutama pada set pertama apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata hingga terikat 14-14.

Bagaimanapun, Malaysia tampil lebih tenang pada saat genting menerusi beberapa hadangan kemas selain rejaman tepat untuk mematahkan kebangkitan India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh.

Image from: Raja Kuadran! Malaysia Tundukkan India, Julang Piala Dunia Sepak Takraw 2026Afifuddin kemudian menyempurnakan rejaman kemenangan untuk menghadiahkan mata penamat set pertama 17-15 buat skuad negara.

Memasuki set kedua, Malaysia tampil lebih meyakinkan dan pada satu ketika selesa mendahului 10-7 hasil corak permainan agresif selain pertahanan lebih tersusun.

Walaupun mengalami kesakitan, Afifuddin tetap memperagakan semangat juang tinggi apabila terus beraksi sebelum menyempurnakan rejaman penting untuk mata ke-12 negara ketika Malaysia mendahului 12-9.

Image from: Raja Kuadran! Malaysia Tundukkan India, Julang Piala Dunia Sepak Takraw 2026

India bagaimanapun enggan mengalah apabila Yunam Akash beberapa kali berjaya menghadirkan tekanan menerusi serangan tajam ke arah pasukan negara.

Namun, kekentalan benteng pertahanan Malaysia akhirnya memastikan mata ke-14 selepas libasan pemain India berjaya dihadang sebelum bola melantun masuk semula ke gelanggang lawan.

Image from: Raja Kuadran! Malaysia Tundukkan India, Julang Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Afifuddin sekali lagi muncul wira negara apabila menyempurnakan rejaman terakhir untuk mata ke-15 sekali gus mengesahkan Malaysia muncul juara dunia acara kuadran dengan kemenangan straight set ke atas India.

Sumber: FB SEPAK TAKRAW LEAGUE 

The post Raja Kuadran! Malaysia Tundukkan India, Julang Piala Dunia Sepak Takraw 2026 appeared first on Borak Daily.