Malaysia Kecam Serangan Udara Israel Ke Atas Doha

10 Sep 2025 • 9:43 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha, Qatar, yang disifatkan sebagai pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan sebuah negara berdaulat dan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu membahayakan nyawa orang awam serta berisiko mencetuskan ketegangan baharu di rantau Timur Tengah yang sudah pun rapuh.

“Menyasarkan Qatar, sebuah negara yang menjadi pusat pengantaraan dan dialog di Timur Tengah, adalah penghinaan mutlak terhadap keamanan serta diplomasi. Serangan ini sama sekali tidak boleh dipertahankan dan tidak boleh diterima,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Malaysia, tegas beliau, berdiri teguh bersama Qatar dan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pencerobohan melampau itu.

Semalam, Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan Doha mengecam keras serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di ibu negara berkenaan. Qatar menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang serta norma antarabangsa selain mencetuskan ancaman serius terhadap keselamatan rakyatnya serta penduduk lain.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar, pihak keselamatan, pertahanan awam dan agensi berkaitan telah mengambil langkah segera bagi menangani insiden berkenaan, termasuk melaksanakan tindakan sewajarnya untuk mengekang kesan serangan serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan sekitar.

— BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved