50 peratus ahli PKR kurang faham sejarah parti

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 11:29 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 50 peratus ahli PKR kurang faham sejarah parti

MELAKA: Kira-kira 50 peratus ahli PKR didapati masih belum memahami dengan jelas sejarah perjuangan parti dan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana anggota parti sendiri perlu mempunyai kefahaman kukuh mengenai sejarah perjuangan sebelum mampu menjelaskannya kepada masyarakat.

Beliau berkata, anggota parti perlu memahami sejarah perjuangan Anwar termasuk kronologi kes mahkamah serta perkembangan yang berlaku sepanjang perjalanan politik beliau.

“50 peratus anggota yang mengikuti program masih tidak mengetahui dengan lebih jelas mengenai sejarah ini.

“Ini bukan perkara kecil. Kalau anggota kita sendiri tidak memahami sejarah perjuangan parti dan presiden, bagaimana kita mahu menjelaskan perjuangan tersebut?

“Bagaimana kita mahu menjawab persoalan, bagaimana kita mahu mempertahankan presiden dengan fakta dan hujah yang tepat?” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, ahli PKR tidak seharusnya mempertahankan Anwar semata-mata berasaskan sentimen dan emosi tanpa memahami fakta serta sejarah di sebalik perjuangannya.

Sebaliknya, katanya, anggota parti perlu mempunyai pengetahuan mencukupi supaya mampu memberikan penjelasan berdasarkan fakta, sejarah dan dokumen apabila berdepan persoalan masyarakat.

“Saya tidak mahu anggota Keadilan hanya mampu menjawab Anwar itu betul. Saya mahu anggota kita mampu menjawab mengapa Anwar itu betul dengan fakta dan sejarah, dengan dokumen.

“Kita tidak boleh membela perjuangan hanya berdasarkan emosi. Kita mesti membela perjuangan berdasarkan kefahaman. Kita jawab dengan fakta, kita jawab dengan sejarah, kita jawab dengan dokumen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha memperkukuhkan latihan dalam kalangan anggota perlu diteruskan bagi memastikan sejarah dan idealisme perjuangan parti dapat difahami khususnya oleh generasi muda.

Katanya, usaha penerbitan bahan berkaitan sejarah serta agenda reformasi juga penting sebagai penghubung antara generasi yang melalui sendiri gerakan Reformasi dengan generasi muda yang mungkin hanya mengenalinya menerusi media sosial.

“Kita perlu hidupkan semula budaya membaca, budaya berdiskusi, budaya berfikir dan budaya berbicara dalam parti. Kita sedar bahawa keberhasilan kepimpinan bergantung kepada sejauh mana kita berjaya menjelaskan dan mencerdaskan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

The post 50 peratus ahli PKR kurang faham sejarah parti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved