Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Kalau sebut fasal sambung belajar ke luar negara, perkara pertama yang biasanya terlintas di fikiran kita mesti nama-nama besar macam Amerika Syarikat (US), United Kingdom (UK), atau Australia, kan?
Tapi siapa sangka, angin perubahan nampaknya sudah mula bertiup kencang. Kali ini, giliran Malaysia pula yang menjadi tumpuan penuntut dari serata pelosok dunia!
Tembusi Kelompok ‘Big 14’ Destinasi Pengajian Dunia

Menerusi kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Malaysia kini secara rasminya tersenarai dalam kelompok 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia (World-Leading Student Destinations).
Paling membanggakan, kita bukan sekadar menempa nama di peringkat global dalam pendidikan tinggi, tetapi berdiri sebaris dengan negara-negara maju seperti US, UK, Australia, dan Kanada.
Pencapaian ini turut disokong oleh beberapa angka yang cukup luar biasa kerana alam tempoh lima tahun, kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia melonjak sebanyak 70 peratus sekali gus meletakkan negara di tangga ketiga tertinggi di peringkat global.
“Bagi pertumbuhan tahun ke tahun, Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 16 peratus dalam kalangan kelompok ‘Big 14’ tersebut.”
Kenapa Pelajar Antarabangsa Berebut Nak Belajar Dekat Malaysia?

Persoalannya, apa yang buatkan Malaysia semakin menjadi pilihan dan ‘kiblat’ baharu pelajar luar?
Menurut Zambry, faktor utamanya cukup jelas apabila kualiti pendidikan di Malaysia bertaraf antarabangsa pada kos yang jauh lebih berpatutan.
Selain yuran dan kos sara hidup yang kompetitif, pencapaian ini membuktikan kredibiliti universiti tempatan, kepakaran barisan akademia, serta kestabilan ekosistem pendidikan tinggi kita yang semakin diyakini dunia luar.
“Pencapaian ini bukan sekadar tentang angka atau kedudukan. Ia adalah pengiktirafan terhadap keupayaan universiti kita, kualiti para akademia, kekuatan ekosistem pendidikan tinggi dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
“Inilah cita-cita besar kita. Menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja menghantar anak bangsanya menimba ilmu ke seluruh dunia, tetapi turut menjadi tempat dunia datang mencari ilmu.”
Dulu kita yang berbondong-bondong hantar anak bangsa ke luar negara, tapi kini dunia pula yang datang mengetuk pintu Malaysia untuk menimba ilmu.
Dari Malaysia, kita bina masa depan dunia. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara!
Sumber: Facebook Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



