Malaysia kuasai 29 peratus pasaran sukuk global

Business & Finance
10 Oct 2026 • 4:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia kuasai 29 peratus pasaran sukuk global

MALAYSIA kekal sebagai peneraju pasaran sukuk global, dengan menyumbang sekitar 29 peratus daripada jumlah sukuk global terkumpul pada akhir Julai 2026, kata laporan Tinjauan Ekonomi 2027.

Menurut laporan tersebut, sukuk terkumpul di pasaran domestik mencecah RM1.49 trilion atau 63.3 peratus daripada jumlah keseluruhan bon dan sukuk negara. 

Katanya, jumlah terbitan sukuk meningkat sebanyak 22.4 peratus kepada RM175.5 bilion berbanding tempoh sama pada 2025, sekali gus menunjukkan aktiviti pemerolehan dana berasaskan pasaran yang berterusan. 

“Pasaran sukuk tempatan terus berperanan sebagai saluran penting bagi mobilisasi modal disokong oleh penyertaan pelabur yang pelbagai serta ekosistem kewangan Islam yang pesat membangun.

“Pada Julai 2026, Malaysia berjaya menerbitkan Sukuk Global bernilai AS$1.5 bilion (RM6.13 bilion) dengan permintaan pelabur yang kukuh sehingga mencatat lebihan langganan sebanyak 4.7 kali. 

“Sambutan pasaran yang menggalakkan telah membolehkan terbitan sukuk berdaulat Malaysia berdenominasi dolar Amerika Syarikat (AS) mencatat spread terendah dalam sejarah,” katanya.

Menurut laporan, ini sekali gus membuktikan keyakinan pelabur global yang teguh terhadap asas makroekonomi Malaysia, disiplin fiskal yang berhemat serta pasaran modal Islam (ICM) yang maju. 

Jelasnya, terbitan ini seterusnya memperkukuh akses Malaysia kepada pasaran modal antarabangsa, di samping mewujudkan penanda aras harga bagi terbitan luar pesisir oleh penerbit Malaysia termasuk syarikat berkaitan kerajaan dan penerbit korporat yang berhasrat meneroka pembiayaan luar pesisir.

“Sehingga akhir Julai 2026, sebanyak 80.7 peratus daripada 1,111 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia merupakan syarikat patuh syariah dengan permodalan pasaran berjumlah RM1.41 trilion atau bersamaan 65 peratus daripada keseluruhan jumlah permodalan pasaran. 

“Ekuiti patuh syariah tertumpu terutamanya dalam sektor produk dan perkhidmatan industri (30 peratus), produk dan perkhidmatan pengguna (21 peratus) serta teknologi (11 peratus), sekali gus memberi pelabur pendedahan yang luas merentas segmen utama dalam ekonomi,” ujarnya.

Melalui kemajuan dalam inovasi dan pendigitalan, laporan berkata, ICM turut membuka peluang baharu bagi pembangunan pasaran termasuk penyelesaian berasaskan syariah.

“Melangkah ke hadapan, ICM dijangka kekal menjadi sumber pembiayaan dan pelaburan yang penting didorong oleh permintaan berterusan terhadap penyelesaian pelaburan patuh syariah dan mampan.

“Usaha berterusan untuk memperluas asas pelabur, memperkukuh hubungan kewangan serantau serta mempertingkatkan akses kepada pasaran modal antarabangsa menerusi rangka kerja sukuk mampan baharu yang bakal diperkenalkan akan terus memangkin perkembangan pasaran. 

“Seiring dengan inisiatif strategik di bawah CMP, perkembangan tersebut dijangka meningkatkan daya saing Malaysia pada peringkat global serta memperkukuh peranan sebagai peneraju dalam hab ICM antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

The post Malaysia kuasai 29 peratus pasaran sukuk global appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved