
HUTANG luar meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM1.51 trilion bersamaan 69.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga akhir Jun 2026, berbanding RM1.39 trilion pada akhir 2025.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, peningkatan ini didorong oleh terbitan luar pesisir korporat yang lebih kukuh dan peluasan hutang sektor swasta.
Katanya, pinjaman luar pesisir yang merupakan komponen terbesar hutang luar meningkat kepada RM784.5 bilion (2025: RM727 bilion) terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank yang berterusan bagi operasi pengurusan kecairan dan aktiviti kewangan serantau.
“Pemegangan bukan pemastautin dalam sekuriti hutang berdenominasi ringgit mencatat sebanyak RM309.6 bilion (2025: RM299.4 bilion) disokong oleh permintaan pelabur yang diperbaharui terhadap sekuriti hutang Kerajaan.
“Sementara itu, deposit bukan pemastautin mencecah RM166.7 bilion sebahagian besarnya didorong oleh penerimaan deposit yang berterusan oleh pemain utama pasaran.
“Pada masa sama, hutang luar lain meningkat kepada RM248.9 bilion terutamanya disebabkan oleh kredit perdagangan korporat yang lebih tinggi bagi transaksi berkaitan import,” katanya.
Menurutnya, kedudukan hutang luar Malaysia kekal terurus disokong oleh struktur tempoh matang, kepelbagaian komposisi mata wang dan langkah perlindungan berhemah seperti rangka kerja mata wang asing yang menentukan had dan syarat ke atas pinjaman mata wang asing tertentu.
“Risiko pembiayaan semula berjaya dikawal dengan berkesan iaitu 55.7 peratus daripada jumlah hutang luar matang dalam tempoh jangka sederhana hingga panjang.
“Daripada perspektif mata wang, sekitar satu pertiga daripada hutang luar didenominasi dalam ringgit, manakala selebihnya dalam mata wang asing, sekali gus menunjukkan kepelbagaian struktur portfolio hutang luar Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, laporan berkata, hutang sektor awam Malaysia meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM1.82 trilion atau 83 peratus daripada KDNK bagi tempoh sama (2025: RM1,758.0 bilion; 86.8 peratus daripada KDNK).
“Peningkatan ini didorong oleh hutang Kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi merangkumi 76 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.
“Hutang badan berkanun dijamin kerajaan meningkat kepada RM113.7 bilion berikutan terbitan baharu oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk menyokong pengeluaran pinjaman perumahan dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pinjaman pendidikan.
“Sementara itu, hutang bersih syarikat awam bukan kewangan telah berkurang kepada RM321.9 bilion terutamanya disebabkan oleh pembayaran balik prinsipal berjadual oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air SPV Sdn. Bhd. dan TRX City Sdn. Bhd,” jelasnya.
Melangkah ke hadapan, laporan berkata, strategi pembiayaan dan pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan akan terus mengutamakan pembangunan negara, di samping mengimbangi kepentingan untuk mengekalkan daya tahan fiskal serta kemampanan hutang.
“Selaras perkembangan yang dicapai menerusi komitmen konsolidasi fiskal, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengawal pinjaman, sekali gus mengurus jumlah hutang terkumpul dan membina semula penampan fiskal selaras dengan objektif fiskal jangka masa sederhana yang ditetapkan di bawah Akta 850.
“Mengambil kira mandat ini, keperluan pembiayaan kasar dan pinjaman baharu akan terus diurus secara berhemah dengan pinjaman domestik kekal sebagai sumber utama pembiayaan kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN
The post Hutang luar naik 8.2% setakat Jun 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






