Perdagangan dengan rakan FTA meningkat 26.2 peratus

Business & Finance
10 Oct 2026 • 8:49 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perdagangan dengan rakan FTA meningkat 26.2 peratus

PERDAGANGAN Malaysia dengan negara rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) meningkat 26.2 peratus kepada RM1.42 trilion dalam tempoh enam bulan pertama 2026, menyumbang 79.4 peratus daripada jumlah dagangan negara berbanding 77 peratus dalam tempoh sama 2025.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, prestasi itu disokong pertumbuhan eksport yang meningkat 22.4 peratus kepada RM738 bilion, manakala import melonjak 30.4 peratus kepada RM686.9 bilion.

“Negara rakan FTA utama dalam tempoh tersebut ialah China yang menyumbang 18.1 peratus, diikuti Singapura sebanyak 13.2 peratus, Hong Kong (4.4 peratus), Jepun (4.4 peratus) dan Republik Korea (4.2 peratus).

“Jumlah dagangan dengan negara rakan FTA terus berkembang dengan mencatat kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 6.1 peratus antara 2012 dan 2025.

“Pada 2025, perdagangan dengan negara rakan FTA mencecah RM2.01 trilion atau 65.6 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia, disokong pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import.

“Eksport ke negara rakan FTA berkembang sebanyak 3.2 peratus kepada RM1.069 trilion, manakala import meningkat 5.1 peratus kepada RM938.3 bilion,” katanya.

Dalam kalangan rakan dagang utama FTA Malaysia, China menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah dagangan pada 17.7 peratus, diikuti Singapura (13.2 peratus), Jepun (4.7 peratus), Thailand (3.9 peratus) dan Republik Korea (3.8 peratus).

Perdagangan dengan negara rakan FTA turut dilihat penting dan strategik kepada Malaysia dalam menyediakan akses pasaran lebih luas, mengurangkan kos perdagangan, mempergiat penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat antarabangsa serta memperkukuh daya saing eksport dan pemindahan teknologi.

“Integrasi ini meningkatkan daya tahan terhadap gangguan perdagangan global melalui kepelbagaian pasaran dan kemampanan rantaian bekalan, sekali gus meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan dan pengeluaran.

“Susulan kejayaan pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), ASEAN bertindak sebagai penampan utama perdagangan, jaringan keselamatan kawal selia dan hab rantaian bekalan serantau yang penting bagi Malaysia.

“Rantau ASEAN menyokong Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi, menjamin kestabilan serantau dan memperkasakan penglibatan negara di peringkat global,” katanya.

Sebagai blok perdagangan terbesar Malaysia, ASEAN menyumbang lebih 25 peratus daripada jumlah dagangan negara, dengan CAGR perdagangan berkembang sebanyak 6.3 peratus antara 2012 dan 2025.

Perdagangan dengan negara anggota ASEAN berjumlah RM331.1 bilion atau 26 peratus daripada jumlah dagangan pada 2011 sebelum meningkat lebih dua kali ganda kepada RM778.1 bilion atau 25.4 peratus pada 2025.

“Dalam tempoh enam bulan pertama 2026, perdagangan dengan negara anggota ASEAN berkembang sebanyak 21.5 peratus kepada RM454.5 bilion, disokong eksport yang meningkat 18.6 peratus kepada RM259.6 bilion dan import sebanyak 25.7 peratus kepada RM194.9 bilion.

“Pada separuh pertama 2026, eksport Malaysia ke ASEAN terutama didorong produk elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang 43.6 peratus daripada jumlah eksport, diikuti produk petroleum sebanyak 14.4 peratus, jentera, kelengkapan dan peralatan 6.9 peratus serta kimia dan produk kimia 5.1 peratus.

“Dari perspektif import, produk E&E turut membentuk bahagian terbesar sebanyak 38 peratus, diikuti produk petroleum (14.7 peratus), kimia dan produk kimia (4.9 peratus) serta jentera, kelengkapan dan peralatan (4.7 peratus),” katanya. – UTUSAN

The post Perdagangan dengan rakan FTA meningkat 26.2 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved