
BUTTERWORTH : Malaysia sedang mengkaji kewajaran untuk menyemak kaedah pengukuran liputan rangkaian telekomunikasi termasuk 5G mengikut metrik antarabangsa yang ketika ini lebih memfokuskan kepada kawasan yang berpenduduk (CoPA) sahaja.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu, kementeriannya bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membawa isu tersebut untuk penelitian lanjut pada forum Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Doha, Qatar, bulan depan.
“Kita akan lihat sama ada wajar atau tidak sekiranya teknologi telekomunikasi seperti 5G ini dikembangluaskan bukan sahaja di CoPA atau kawasan yang berpenduduk, tetapi juga di kawasan-kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi seperti pelabuhan, rangkaian rel dan laluan-laluan utama di kawasan lebuh raya.
“Kalau kita lihat, kawasan seperti di pelabuhan mungkin tidak mempunyai penduduk tetap. Bagaimanapun, kawasan itu tetap memainkan peranan besar kepada ekonomi negara dan memerlukan tahap kesalinghubungan yang tinggi,” katanya.
Beluau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran ‘Penang Port Private 5G’ di Wharf N2, Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Pelabuhan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port, Fakhrul Azhar Tajudin serta Ketua Pegawai Eksekutif Altel Group, Dr. Afizulazha Abdullah.
Sementara itu, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperluas penggunaan rangkaian 5G di pelabuhan-pelabuhan lain seluruh negara susulan kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G persendirian (private 5G) di Pelabuhan Pulau Pinang ketika ini.
“Ya, kita akan bekerjasama rapat dengan mereka (MOT) kerana sebelum ini pun kita dan MCMC memang turut membantu untuk menyelesaikan masalah internet di laluan-laluan utama seperti rel.
“Dalam hal ini, kita juga telah mengenal pasti sejumlah kawasan yang diuruskan oleh pihak KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) sebagai contoh dan sepanjang laluan tersebut iaitu dari utara, timur sampai ke selatan Semenanjung, ada kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti tidak mempunyai internet di laluan-laluan berkenaan.
“Jadi, berdasarkan kerjasama yang telah kita berikan dengan pihak MOT sebelum ini, saya percaya kita boleh kembangluaskan, termasuk memanfaatkan penggunaan teknologi 5G ini tanpa mengambil kira siapa yang menyediakannya, tapi untuk diguna pakai di terutama di pelabuhan-pelabuhan,” katanya.-UTUSAN
The post Malaysia mahu kaedah pengukuran liputan 5G diteliti – Fahmi appeared first on Utusan Malaysia.



