Liputan ULTRA 5G U Mobile Kini Merangkumi 90% Kawasan Berpenduduk Malaysia – 9 Bulan Lebih Awal Dari Yang Dijadualkan

LocalTechnology
6 Oct 2026 • 4:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apabila U Mobile memperkenalkan rangkaian ULTRA 5G mereka pada Julai 2025, komitmen yang diberikan oleh mereka ialah mereka akan mencapai liputan rangkaian 5G setinggi 80 peratus kawasan berpenduduk (Coverage of Populated Area) 12 bulan selepas ia dibangunkan, dan 90 peratus menjelang Julai 2027.

Hari ini, U Mobile telah mengumumkan bahawa rangkaian ULTRA 5G mereka telah berjaya meliputi 90 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia pada pertengahan bulan September ini, yang mana ia adalah 9 bulan lebih pantas daripada apa yang dijanjikan dan dijangka. Pencapaian ini dilihat selari dengan kelajuan pembangunan rangkaian mereka, dan tidak begitu mengejutkan apabila rangkaian ULTRA 5G mereka telah berjaya mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia pada bulan Mac 2026, hanya enam bulan setelah rangkaian tersebut diperkenalkan.

Image from: Liputan ULTRA 5G U Mobile Kini Merangkumi 90% Kawasan Berpenduduk Malaysia – 9 Bulan Lebih Awal Dari Yang Dijadualkan

Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, berkata, “Pencapaian liputan 5G 90% di seluruh negara lebih awal daripada jadual—dengan tempoh masa melebihi sembilan bulan—mencerminkan keazaman seluruh pasukan U Mobile serta kerjasama erat antara kami dengan rakan kongsi daripada sektor kerajaan, dari segi kawal selia, teknologi dan infrastruktur. Kami telah berikrar untuk membangunkan rangkaian 5G seluruh negara dengan pantas dan berskala besar, dan hari ini, kami berbangga kerana telah menunaikan janji tersebut lebih awal dari yang dijadualkan.”

“Dengan asas rangkaian seluruh negara kini terbina, tumpuan kami adalah untuk terus memperkukuhkan pengalaman ULTRA5G serta membantu perniagaan, komuniti dan perkhidmatan awam menterjemahkan ketersambungan tersebut kepada nilai yang bermakna,” tambah Wong.

Malah, untuk liputan capaian 90 peratus kawasan berpenduduk ini, selain daripada pencawang-pencawang yang dipasang di kawasan-kawasan terbuka, mereka juga telah melepasi jumlah 250 lokasi rangkaian dalam bangunan (In Building Coverage) diperkenalkan di seluruh Malaysia, dari pusat membeli-belah, lapangan-lapangan terbang antarabangsa di seluruh Malaysia, hospital-hospital dan sebagainya.

U Mobile juga telah dinamakan sebagai Rangkaian Mudah Alih Terbaik dan Rangkaian 5G Terpantas di Malaysia oleh Ookla, manakala Opensignal mengiktiraf syarikat tersebut atas peningkatan dari segi kebolehpercayaan, kualiti rangkaian, kelajuan dan pengalaman 5G.

Mereka juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Universiti Islam Antarabangsa untuk membangunkan teknologi baharu dan memajukan teknologi rangkaian 5G dan 6G akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved