Malaysia Marine and Heavy Engineering lantik pengarah Petronas, Mohd Nazir sebagai MD baharu
zulfadli
01/11/2023 - 16:33
KUALA LUMPUR 1 Nov - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) melantik Mohd Nazir Mohd Nor sebagai pengarah urusannya, berkuat kuasa 1 Disember 2023.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MHB berkata, Nazir menggantikan pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif semasa, Pandai Othman, yang akan meletakkan jawatan pada 30 November ini, selepas tamat tugasan peminjamannya.
"Nazir mempunyai banyak pengalaman dalam sektor tenaga dan gas, dan kini memegang jawatan sebagai Pengarah Petronas Energy and Gas Trading Sdn Bhd dan CEFS Response Sdn Bhd," katanya.
Sebelum ini, beliau berkhidmat dalam jawatan penting di Petronas, termasuk sebagai ketua negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas E&P Argentina, Pengarah Infrastruktur Gas Petronas Canada Energy Ltd, dan pengurus operasi Malaysia Timur untuk Petronas Gas Bhd, antara lain.
Nazir memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan kelayakan profesional dalam program pengurusan daripada Duke Corporate Education. - DagangNews.com


