Malaysia masih relevan jadi fasilitator perdamaian Selatan Thailand

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia masih relevan jadi fasilitator perdamaian Selatan Thailand

NARATHIWAT (THAILAND): Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) berpendapat Malaysia masih relevan untuk menjadi fasilitator dalam Proses Dialog Damai Selatan Thai antara pergerakan pejuang dan Kerajaan Thailand.

Presidennya, Kasturi Mahkota berkata, peranan Malaysia sebagai fasilitator yang bermula sejak 2013 masih diperlukan, walaupun sehingga kini keamanan dan perdamaian di tiga wilayah Selatan Thai masih samar-samar.

“Sebenarnya tidak ada negara lain yang boleh menandingi kebolehan dan keupayaan Malaysia sebagai fasilitator proses damai berkenaan.

“Malaysia adalah negara jiran yang mempunyai budaya, agama dan bahasa yang sama dengan penduduk Melayu di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Kasturi mengulangi komitmen bahawa PULO dan pergerakan pejuang Patani yang lain berpendirian bahawa penyelesaian yang adil serta berkekalan terhadap konflik di Selatan Thai hanya dapat dicapai melalui dialog yang inklusif dan bermakna dengan melibatkan semua pihak yang berkaitan.

Katanya, proses damai itu wajar memberi tumpuan kepada akar umbi permasalahan konflik, bukan sekadar menangani gejala atau persoalan keselamatan semata-mata.

“Pada pandangan PULO, akar sejarah dan politik konflik termasuk persoalan penjajahan, kedudukan politik, identiti, keadilan serta hak rakyat Patani untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri, perlu dibincangkan secara serius dan substantif,” ujarnya.

Menurutnya, dialog damai tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyerahan atau pengintegrasian anggota gerakan dan tidak seharusnya dihadkan kepada persoalan pentadbiran tempatan atau autonomi pentadbiran semata-mata, sebaliknya perkara tersebut mungkin menjadi sebahagian daripada proses menyeluruh.

Jelas beliau, pihaknya berpendirian bahawa proses dialog yang bermakna mesti menyediakan ruang politik kepada semua pihak untuk membincangkan secara terbuka rungutan, kepentingan dan aspirasi rakyat Patani, berdasarkan prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan tanpa syarat-syarat yang menghalang perbincangan politik yang sebenar.

Kasturi mengingatkan bahawa keamanan di Patani bukan sekadar ketiadaan keganasan, tetapi bermaksud penyelesaian terhadap punca konflik serta pembentukan satu penyelesaian politik yang dapat diterima, adil, menyeluruh dan berkekalan. – UTUSAN

The post Malaysia masih relevan jadi fasilitator perdamaian Selatan Thailand appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved