Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Malaysia berjaya melonjak tujuh anak tangga dalam Kedudukan Digital dan AI Dunia IMD 2026, daripada tangga ke-34 ke kedudukan ke-27.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha kolektif kerajaan, industri, ahli akademik dan rakyat dalam memperkukuh keupayaan digital negara, selari dengan Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 serta Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030.
“Peningkatan kedudukan Malaysia ini mencerminkan usaha kolektif kerajaan, pihak industri, ahli akademik dan seluruh rakyat Malaysia dalam membudayakan teknologi digital serta memperkukuh keupayaan negara.”
Bukan Sekadar Nak Naik Ranking, Tapi Rakyat Turut Nikmati Manfaat AI
Menurut Gobind, keupayaan digital negara perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi lebih luas, menjadikan perniagaan tempatan lebih berdaya saing serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat menerusi empat keutamaan utama.
“Keupayaan kita adalah untuk memastikan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang ini diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, perusahaan tempatan yang lebih berdaya saing, serta manfaat nyata buat seluruh rakyat.”
Lebih Banyak Produk AI Buatan Malaysia, Bukan Sekadar Bergantung Pada Teknologi Luar
Kerajaan mahu memaksimumkan nilai pelaburan infrastruktur digital agar syarikat, penyelidik dan pembangun tempatan dapat mencipta inovasi sendiri, sekali gus melahirkan lebih banyak produk AI ‘Buatan Malaysia’ yang mampu menembusi pasaran global.
“Kerajaan mahu lebih banyak industri, teknologi dan perniagaan dibangunkan berasaskan pelaburan tersebut supaya produk serta perkhidmatan Buatan Malaysia mampu bersaing di pasaran global.”
PMKS Pun Perlu Beralih Kepada Teknologi Digital Dan AI
Penggunaan AI tidak boleh tertumpu kepada syarikat besar sahaja, sebaliknya perlu diperluas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos. Transformasi digital sektor kerajaan juga akan dipertingkat supaya perkhidmatan awam lebih cekap dan responsif.
“Ini penting supaya manfaat teknologi dapat dirasai dalam urusan perniagaan mahupun kehidupan seharian.”
Nak Jadi Negara AI, Bakat Tempatan Pun Kena Cukup!
Bagi memastikan teknologi memberi impak maksimum, kerajaan menumpukan usaha melahirkan lebih ramai jurutera, penyelidik dan usahawan AI. Program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) turut dipergiatkan agar pekerja tempatan bersedia merebut peluang dalam ekonomi AI.
“Pada masa yang sama, kita akan mempergiat usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja, bagi melengkapkan rakyat Malaysia merentasi pelbagai industri dan perniagaan tanpa mengira saiz dengan keupayaan digital dan AI yang diperlukan.”
AI Makin Canggih, Tapi Keselamatan Dan Kepercayaan Tetap Kena Jaga
Kementerian Digital sedang memajukan penggubalan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI serta menubuhkan Institut Keselamatan AI Malaysia. Tadbir urus data dan keselamatan siber juga terus diperkukuh bagi melindungi rakyat dan mengekalkan keyakinan pelabur.
Gobin berkata, perkara itu seiring dengan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus data, keselamatan siber dan penyelarasan kawal selia bagi menggalakkan inovasi, mengekalkan keyakinan pelabur serta melindungi kepentingan rakyat Malaysia.
“Kita juga sedang berusaha ke arah penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia di bawah AI Malaysia untuk memperkukuh keupayaan negara dalam penilaian keselamatan AI,penilaian risiko, penyelidikan dan pembangunan piawaian.”
Sasaran Negara AI 2030, Malaysia Nak Jadi Pembangun Teknologi Bukan Sekadar Pengguna!
Gobind menegaskan kerjasama berterusan amat penting untuk mengekalkan momentum ini, supaya Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi muncul sebagai pembangun inovasi yang mencorakkan ekonomi masa hadapan menjelang 2030.
“Kita akan membina kekuatan berasaskan pencapaian ini untuk merealisasikan aspirasi menjadi sebuah Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang tahun 2030 sebuah negara yang bukan sahaja mengguna pakai teknologi, tetapi turut membangunkan keupayaan, inovasi dan perniagaan yang bakal mencorakkan ekonomi masa hadapan kita.”
Sumber: Siaran Media Kementerian Digital
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






