
PUTRAJAYA - Malaysia dan Mesir berhasrat memperluas kerjasama pendidikan yang tidak terhad kepada pengajian Islam semata-mata, sebaliknya merangkumi bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara perlu memperluas kerjasama pendidikan yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kepakaran dalam bidang teknikal dan profesional.
Beliau berkata Universiti Al-Azhar kekal sebagai institusi penting dalam pendidikan Islam, khususnya dalam menerapkan pendekatan sederhana berteraskan konsep Wasatiyyah, namun kerjasama pendidikan juga perlu meliputi bidang pengajian lain.
“Pendidikan perlu merangkumi bidang pengajian yang lain,” kata beliau pada sidang media bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di sini hari ini.
Anwar berkata ramai doktor Malaysia menerima latihan di Mesir, sekali gus mencerminkan hubungan pendidikan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Anwar berkata perbincangan dengan El-Sisi turut menyentuh perkembangan antarabangsa yang mendesak, termasuk ketegangan yang masih belum reda di Selat Hormuz serta implikasinya terhadap Iran.
Perdana Menteri mengulangi pendirian tegas Malaysia dalam menentang kekejaman terhadap rakyat Palestin, khususnya keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza.
“Kita mengambil pendirian tegas berhubung kekejaman terhadap rakyat Palestin dan Gaza akibat keengganan Israel untuk bertolak ansur serta keganasan yang dilakukan mereka,” kata beliau.
El-Sisi dalam rangka lawatan negara ke Malaysia dari 9 hingga 10 Okt atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kunjungan itu ialah lawatan negara pertama beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan pada 2014, dan menjadi langkah penting ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-Mesir kepada perkongsian strategik selepas lebih enam dekad menjalinkan hubungan diplomatik.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Mesir meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (USD0.87 bilion) dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, melepasi RM3.08 bilion (USD0.72 bilion) yang direkodkan pada 2025.
Pada 2025, Mesir ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika, dengan eksport Malaysia bernilai RM2.55 bilion (USD0.60 bilion), manakala import berjumlah RM530 juta (USD0.12 bilion). - 10 October, 2026
The post Malaysia, Mesir hasrat perluas kerjasama pendidikan melangkaui pengajian Islam : Anwar appeared first on Scoop.





