Malaysia Mahu Sokongan Mesir, Perluas Operasi Petronas Dan Proton

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 7:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malaysia Mahu Sokongan Mesir, Perluas Operasi Petronas Dan Proton

KUALA LUMPUR - Malaysia berharap Mesir dapat memberikan sokongan lebih kukuh bagi membantu memperluas operasi syarikat minyak dan gas negara, Petronas, serta pengeluar kereta nasional, Proton, di negara Afrika Utara itu.

Usaha berkenaan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, ketika kedua-dua negara berhasrat memperkukuh kerjasama ekonomi dan strategik.

Menerusi pertemuan tersebut, Anwar menggesa kerajaan Mesir memastikan persekitaran operasi yang kondusif kepada syarikat Malaysia, selain menyokong rancangan pengembangan perniagaan mereka di negara itu.

Perbincangan yang disertai kedua-dua pemimpin bersama delegasi masing-masing turut merangkumi cadangan menjalin perkongsian strategik dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, pertanian dan komoditi, pelancongan, hubungan udara serta pemerkasaan wanita.

Hasil pertemuan itu, Malaysia dan Mesir memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluas kerjasama dalam bidang pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan dan pemerkasaan wanita. 

Pertukaran dokumen berkenaan disaksikan Anwar dan El-Sisi.

MoU berkaitan pemerkasaan wanita ditandatangani Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, dengan Menteri Luar Negeri, Emigrasi dan Ekspatriat Mesir, Dr Badr Ahmed Mohamed Abdelatty.

Sementara itu, perjanjian dalam bidang pendidikan tinggi pula diserahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, juga kepada Abdelatty.

Abdelatty turut mewakili Mesir dalam pertukaran MoU berkaitan pelancongan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Satu lagi perjanjian melibatkan kerjasama pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Pihak Berkuasa Am Pelaburan dan Zon Bebas Mesir.

Dokumen berkenaan diserahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dengan Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar Mesir, Dr Mohamed Farid Saleh.

Kesemua perjanjian tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua negara mengukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama dalam sektor-sektor utama.

Dalam pada itu, Anwar mengiktiraf sumbangan Mesir sejak sekian lama terhadap pembangunan pendidikan di Malaysia, khususnya menerusi Universiti Al-Azhar yang memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi ilmuwan Islam negara.

Beliau berkata, sumbangan institusi itu melalui pendidikan, pemberian biasiswa dan khidmat pengajaran telah membantu memperkukuh tradisi keilmuan Islam di Malaysia.

Anwar turut merakamkan penghargaan atas kunjungan Sheikh Prof Ali Jum’ah dan Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari, yang disifatkannya menyumbang kepada perbincangan mengenai ajaran Islam serta pendekatan wasatiyyah yang menekankan kesederhanaan, keseimbangan dan sikap saling menghormati.

“Semoga persahabatan yang berakar umbi ini terus diperkukuh menerusi usaha bersama demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran kedua-dua negara,” katanya.

El-Sisi mengadakan lawatan negara selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Presiden Mesir itu berlepas pulang pada jam 4.38 petang tadi selepas menamatkan lawatan berkenaan.

Pesawat khas yang membawa beliau berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan kehadiran Anwar dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bagi mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin itu. - Getaran, 10 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved