Malaysia, Mesir perluas kerjasama menerusi empat MoU

10 Oct 2026 • 3:43 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Malaysia, Mesir perluas kerjasama menerusi empat MoU

PUTRAJAYA, 10 OKT: Malaysia dan Mesir hari ini memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi pemerkasaan wanita, pendidikan tinggi, pelancongan dan pelaburan ketika kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala selepas lebih enam dekad menjalin hubungan diplomatik.

Pemeteraian MoU itu bersempena dengan lawatan negara Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi ke selama dua hari, yang dijangka mencetuskan dorongan baharu kepada usaha meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik.

MoU mengenai pemerkasaan wanita ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Mesir, dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mewakili Malaysia, manakala Menteri Luar, Kerjasama Antarabangsa dan Ekspatriat Mesir Dr Badr Ahmed Mohamed Abdelatty mewakili Mesir.

Kedua-dua pihak turut menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, yang diwakili oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Abdelatty.

MoU ketiga berkaitan kerjasama pelancongan turut diwakili oleh Abdelatty bagi pihak Mesir, manakala Malaysia diwakili oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Malaysia untuk pertukaran MoU antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Pihak Berkuasa Am bagi Pelaburan dan Zon Bebas Mesir. Mesir diwakili Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar Dr Mohamed Farid Saleh.

Kesemua pertukaran MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, El-Sisi.

Terdahulu, Anwar dan El-Sisi mengadakan mesyuarat dua hala selepas pertemuan empat mata di Kompleks Seri Perdana di sini.

Mesyuarat itu merangkumi usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama, selain perkembangan serantau dan antarabangsa.

Cadangan untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik dijangka memperkukuh kerangka kerjasama antara kedua-dua negara.

Lawatan itu berlangsung ketika perdagangan dua hala mencatatkan peningkatan ketara 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (USD0.87 bilion) dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, melepasi RM3.08 bilion (USD$0.72 bilion) yang direkodkan pada 2025.

Pada 2025, Mesir ialah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika.

Jumlah dagangan Malaysia dengan Mesir bernilai RM3.08 bilion (USD0.72 bilion), dengan nilai eksport Malaysia ke Mesir sebanyak RM2.55 bilion (USD0.60 bilion) dan nilai import dari Mesir berjumlah RM0.53 bilion (USD0.12 bilion).

Malaysia dan Mesir menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1959 dan mengekalkan kerjasama erat dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, selain penglibatan rapat dalam platform serantau dan antarabangsa.

Lawatan negara El-Sisi atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu adalah lawatan negara pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Jun 2014.

Program lawatan itu turut merangkumi pameran yang menampilkan model terbaharu Proton Saga dan model Modenas, sekali gus memperlihatkan keupayaan industri automotif negara serta jenama tempatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved