Malaysia-Mesir perkukuh hubungan, perluas kerjasama

LocalPolitics
10 Oct 2026 • 3:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia-Mesir perkukuh hubungan, perluas kerjasama

PETALING JAYA: Hubungan Malaysia dan Mesir terus diperkukuh menerusi pemeteraian Perkongsian Strategik bagi memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, lawatan negara Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia mencerminkan persahabatan akrab yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.

“Lawatan ini mencerminkan persahabatan akrab sekian lama antara Malaysia dan Mesir yang berlandaskan saling hormat, percaya dan bersefahaman.

“Pemeteraian Perkongsian Strategik dalam Lawatan Negara ini juga membuktikan komitmen kedua-dua negara ke arah kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama,” titah Seri Paduka Baginda.

Titah Seri Paduka Baginda dikongsikan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini bersempena lawatan negara El-Sisi ke Malaysia.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap El-Sisi yang tiba di Istana Negara pada pukul 10 pagi.

Ketibaan Presiden Mesir itu disambut Seri Paduka Baginda disusuli Istiadat Sambutan Negara dengan pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta alunan lagu kebangsaan Mesir dan Negaraku.

El-Sisi kemudian menandatangani buku pelawat sebelum delegasi Malaysia dan Mesir diperkenalkan kepada beliau serta Sultan Ibrahim.

Sebagai penghormatan bersempena lawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) kepada El-Sisi.

Sultan Ibrahim yang menzahirkan rasa besar hati atas lawatan tersebut kemudian berkenan meraikan El-Sisi serta delegasi Mesir dalam majlis Santapan Negara.

El-Sisi turut memanjangkan jemputan kepada Sultan Ibrahim untuk melakukan lawatan negara ke Mesir.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan Kabinet dan pimpinan kanan negara. – UTUSAN

The post Malaysia-Mesir perkukuh hubungan, perluas kerjasama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved