hamden18/11/2026 - 15:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Telekom Malaysia Bhd (TM) berpotensi meraih sumber pendapatan tambahan selepas 2030 menerusi projek kabel dasar laut bernilai RM2.7 bilion, susulan peningkatan permintaan sambungan berkapasiti tinggi daripada pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) di Sarawak.
Kenanga Research berkata, projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) sepanjang 5,500 kilometer (km) yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah itu akan menyediakan kapasiti tambahan kepada rangkaian TM, ketika kabel sedia ada Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) kini beroperasi pada kira-kira 85% kapasiti.
Menurut firma penyelidikan itu, pusat data AI memerlukan lebar jalur yang besar, sambungan berlatensi rendah serta infrastruktur rangkaian yang boleh dipercayai bagi menyokong penghantaran data di seluruh Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Kenanga berkata, stesen pendaratan SALAM di Kuching dan Bintulu (Samalaju) terletak berhampiran hab pusat data yang sedang berkembang di Sarawak, sekali gus meletakkan TM pada kedudukan strategik untuk meraih permintaan daripada pembangunan baharu.
Selain menyediakan kapasiti lebar jalur, TM juga berpotensi bertindak sebagai rakan penyambungan dengan menghubungkan pusat data kepada titik pertukaran internet, sistem kabel dasar laut dan rangkaian sambungan global.
Keadaan itu membuka peluang kepada TM menawarkan perkhidmatan tambahan seperti hak penggunaan tidak boleh ditarik balik (IRU), peruntukan lebar jalur siap sedia dan perkhidmatan panjang gelombang terurus.
Kenanga berkata, SALAM akan beroperasi seiring SKR1M yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
TM memperoleh projek SKR1M yang dibiayai menerusi Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) pada Disember 2014 melalui kerjasama awam-swasta dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebelum kabel itu memulakan operasi komersial pada 2017.
Bagi SKR1M, TM bekerjasama dengan TIME dotCom Bhd menerusi perjanjian pembinaan dan penyelenggaraan selama 20 tahun, dengan anggaran pegangan masing-masing sebanyak 83.6% dan 16.4%.
Pengaturan itu berasaskan pembayaran balik kos tanpa mekanisme perkongsian keuntungan.
Perkukuh rangkaian antarabangsa TM
Sebagai perbandingan, SALAM adalah kira-kira 1.4 kali lebih panjang dan 3.8 kali lebih mahal berbanding SKR1M, selain mempunyai 10 stesen pendaratan berbanding enam bagi projek terdahulu.
Kenanga berkata, SALAM akan terus memperkukuh rangkaian antarabangsa TM yang merangkumi lebih 400,000km menerusi 39 sistem kabel dasar laut.
MCMC telah menetapkan TM sebagai penyedia perkhidmatan sejagat bagi SALAM, yang akan dibiayai menerusi Dana USP. Pembinaan projek itu dijadualkan bermula pada Disember 2026, dengan penyiapan secara berperingkat disasarkan menjelang suku pertama 2030.
Walaupun projek itu dijangka hanya memberi sumbangan kecil kepada pendapatan TM sepanjang fasa pembinaan dan peringkat awal operasi, Kenanga melihat potensi sumbangannya menjadi lebih bermakna selepas 2030 apabila permintaan terhadap sambungan serantau dan antarabangsa meningkat.
Firma penyelidikan itu menganggarkan nilai komersial berpotensi SALAM sebanyak RM523 juta, bersamaan 13.6 sen bagi setiap saham TM, berdasarkan hasil daripada penjualan kapasiti kabel yang tidak digunakan. - DagangNews.com





