
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mula memperoleh hasil daripada pelaksanaan cukai minimum global (GMT) selepas Jun 2027 meskipun cukai berkenaan mula berkuat kuasa di negara ini sejak 1 Januari 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, tempoh kutipan itu bergantung kepada keperluan pelaporan kewangan syarikat multinasional yang tertakluk kepada kadar cukai efektif minimum sebanyak 15 peratus.
Beliau berkata, syarikat terbabit diberikan tempoh 18 bulan selepas berakhirnya tahun kewangan masing-masing untuk mengemukakan penyata serta menjelaskan cukai tambahan yang dikenakan.
“Malaysia telah melaksanakan GMT pada 1 Januari 2025, selaras dengan komitmennya di bawah rangka kerja Hakisan Asas dan Peralihan Keuntungan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
“Bagaimanapun, hasil cukai di bawah GMT hanya akan dikutip selepas Jun 2027, berdasarkan tempoh pelaporan kewangan kumpulan multinasional yang tertakluk kepada cukai tambahan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah hasil yang telah dikutip menerusi GMT sejak pelaksanaannya pada 2025.
Lim turut meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang menurunkan kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada 15 peratus bagi memastikan layanan lebih adil berbanding syarikat multinasional.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, GMT diperkenalkan bagi menangani amalan peralihan keuntungan oleh syarikat multinasional ke negara atau bidang kuasa yang menawarkan kadar cukai korporat rendah atau sifar.
“Pelaksanaan GMT dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chin Tong berkata, Belanjawan 2027 mencadangkan pengurangan kadar cukai pendapatan bagi PMKS sebanyak satu mata peratusan bermula tahun taksiran 2027.
Katanya, kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama dicadangkan turun daripada 15 kepada 14 peratus, manakala pendapatan antara RM150,001 hingga RM600,000 dikurangkan daripada 17 kepada 16 peratus.
“Langkah itu membolehkan perniagaan yang layak menikmati penjimatan cukai sehingga RM6,000, sekali gus membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan aliran tunai,” katanya. – UTUSAN
The post Malaysia mula kutip hasil cukai minimum global selepas Jun 2027 appeared first on Utusan Malaysia.





