Kutipan cukai minimum global hanya bermula selepas Jun 2027 - Chin Tong

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 12:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kutipan cukai minimum global hanya bermula selepas Jun 2027 - Chin Tong
Chin Tong

KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya akan mula memperoleh hasil kutipan cukai minimum global (GMT) selepas Jun 2027, meskipun pelaksanaannya telah berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, tempoh itu mengambil kira jadual pelaporan kewangan syarikat multinasional yang tertakluk kepada cukai tokokan di bawah rangka kerja Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Inclusive Framework on Base Erosion and Profit Shifting (BEPS).

Menurut beliau, pelaksanaan GMT dijangka memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara.

“Ini memandangkan tarikh akhir pengemukaan dan pembayaran cukai adalah 18 bulan selepas tamat tempoh penyata kewangan disatukan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah kutipan GMT sejak pelaksanaannya pada 2025.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Guan Eng berhubung cadangan mengurangkan kadar cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada 15 peratus bagi memastikan persaingan lebih adil dengan syarikat antarabangsa, Chin Tong berkata, kerajaan telah mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan menerusi Belanjawan 2027.

Jelas beliau, pengurangan itu akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2027, dengan kadar cukai bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama diturunkan daripada 15 kepada 14 peratus, manakala pendapatan bercukai antara RM150,001 hingga RM600,000 pula, kadar cukai dikurangkan daripada 17 kepada 16 peratus.

"Pengurangan kadar cukai ini dijangka memberi penjimatan cukai sehingga RM6,000 kepada PMKS, sekali gus membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan aliran tunai syarikat,” tambah beliau.

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved