
PETALING JAYA – Penganjuran semula Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang buat kali pertama sejak 2017 menjadi ruang bagi Malaysia dan Bahrain memperkukuh hubungan dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menzahirkan penghargaan atas dukungan Bahrain dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang memungkinkan penganjuran semula F1 di Sepang menerusi Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.
Katanya, pertemuan bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut dimanfaatkan untuk membincangkan ikhtiar memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
“Termasuk mempercepat rundingan pegawai kanan bagi menggerakkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi serta memacu agenda dua hala secara strategik,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Katanya, selari aspirasi Ekonomi Madani dan Wawasan Ekonomi Bahrain 2030, Malaysia dan Bahrain bertekad memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan, kewangan Islam, teknologi, pelancongan, keterjaminan makanan, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan pembuatan pintar.
“Malaysia mengalu-alukan pelaburan Bahrain, sementara syarikat Malaysia bersedia memanfaatkan Bahrain sebagai pintu masuk ke pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC), demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Bahrain International Circuit, Sepang International Circuit dan Kementerian Belia dan Sukan atas kerjasama erat sejak Julai lalu sehingga persiapan perlumbaan berjaya disempurnakan dalam tempoh singkat.
Beliau turut mengalu-alukan keberangkatan Putera Salman ke Malaysia serta berharap delegasi Bahrain, seluruh pasukan, pelumba dan para pengunjung menikmati hujung minggu perlumbaan yang lancar dan sempurna. – KOSMO! ONLINE
The post F1 kembali ke Sepang, perkukuh hubungan dua negara appeared first on Kosmo Online.






