Malaysia, Palestin perkukuh kerjasama perdagangan, ekonomi dan pelaburan

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 10:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, Palestin perkukuh kerjasama perdagangan, ekonomi dan pelaburan

image is not available

19/09/2025 - 10:46

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept – Malaysia dan Palestin memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan perdagangan dan kerjasama ekonomi bagi memperkukuh hubungan dwi hala serta membuka peluang baharu dalam pelaburan dan pembangunan kedua-dua negara.

Pertukaran MoU dibuat oleh Setiausaha Agung Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Pertukaran bersejarah itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MITI dalam satu kenyataan berkata, MoU berkenaan menjadi asas kepada usaha meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan zon perindustrian, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri halal, pelancongan, tenaga serta ekonomi digital.

Selain itu, ia turut memberi penekanan kepada latihan, pertukaran kepakaran dan menggalakkan kerjasama sektor swasta antara kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Palestin untuk membantu membangunkan semula ekonominya.

“MoU ini membuktikan visi bersama untuk mewujudkan hubungan perdagangan dan pelaburan mampan, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti industri halal, ekonomi digital dan PKS.

“Kerajaan juga telah bersetuju secara prinsip untuk mengecualikan beberapa produk pertanian dan makanan Palestin yang diimport ke Malaysia daripada duti kastam,” katanya.

Pada 2024, Palestin merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di Asia Barat.

Eksport utama Malaysia ke Palestin termasuk produk berasaskan plastik dan makanan proses, manakala import utama dari Palestin ialah hasil pertanian seperti kurma.

Malaysia berhasrat untuk terus memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Palestin bagi menyokong aspirasi pembangunan serta ketahanan negara itu, di samping memperjuangkan prinsip solidariti dan kemakmuran bersama.

MITI turut menegaskan peranan kementerian itu sebagai pemacu utama pelaburan dan perdagangan Malaysia dengan fokus menjadikan negara sebagai destinasi pilihan pelaburan berkualiti serta meningkatkan daya saing global, sejajar aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju. - DagangNews.com

standard