Hasil segmen huluan minyak dan gas Malaysia diramal terus lemah - Kenanga Research

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 4:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil segmen huluan minyak dan gas Malaysia diramal terus lemah - Kenanga Research

image is not available

19/09/2025 - 16:04

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Hasil segmen huluan industri minyak dan gas (O&G) Malaysia diramal terus lemah, manakala bahagian hiliran mungkin mengalami perubahan sekiranya lebihan penawaran di peringkat global menjadi lebih terkawal.

Kenanga Research berkata, berdasarkan keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), pendapatan bagi kebanyakan saham syarikat O&G tempatan telah mencapai kemuncaknya pada FY24, apabila beberapa syarikat dalam sektor tersebut melaporkan keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Prospek pendapatan FY25 kelihatan lebih lemah dari tahun ke tahun bagi penyedia perkhidmatan huluan dan ini memberi bayangan keuntungan subsektor secara keseluruhan sedang menurun daripada puncak kitarannya pada FY24. Kelemahan itu dijangka berterusan hingga FY26," katanya dalam satu nota kajian.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, hasil pertemuan dengan syarikat-syarikat dalam sektor tersebut menunjukkan FY25 dan FY26 dijangka masih kekal mencatatkan keuntungan bagi penyedia perkhidmatan huluan.

Oleh itu, katanya, kesan terhadap harga saham sekiranya pendapatan tidak mencapai sasaran mungkin lebih terkawal berbanding kitaran penurunan sebelum ini.

Penyedia perkhidmatan huluan juga berpotensi meningkatkan pembayaran dividen kerana kedudukan tunai mereka yang boleh menghadkan risiko penurunan harga saham.

Sementara itu, pendapatan syarikat hiliran pada 2QFY25 kekal lemah, namun segmen pertengahan serta runcit atau pengedaran kelihatan masih berdaya tahan dalam persekitaran global yang tidak menentu pada masa ini.

Kenanga Research berkata, harga produk hiliran masih kekal lemah namun tidak menunjukkan tanda-tanda penyusutan sekali gus memberi isyarat paras terendah mungkin telah dicapai.

“Terdapat keyakinan awal terhadap rasionalisasi kapasiti dalam segmen poliolefin, memandangkan Korea Selatan dan China dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan kapasiti, khususnya fasiliti yang sudah usang dan kurang cekap.

"Pada pandangan kami, walaupun prospek pendapatan untuk separuh kedua tahun ini kekal sederhana, pelabur nampaknya sudah melihat melangkaui itu dan menantikan potensi pemulihan pada FY26.

"Pengurangan kapasiti berkemungkinan mencetuskan sekurang-kurangnya satu kitaran kenaikan harga poliolefin jangka pendek selama setahun," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor O&G tetapi menasihatkan pelabur supaya memberi perhatian khusus kepada ruang hiliran serta mengikuti perkembangan berkaitan fasiliti petrokimia dalam bulan-bulan mendatang untuk memastikan sama ada pelan kapasiti tersebut direalisasikan. - DagangNews.com

featured standard