Malaysia pasaran strategik Industri kapal persiaran

Business & Finance
3 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia pasaran strategik Industri kapal persiaran

MUKADIMAH

INDUSTRI kapal persiaran di Asia terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang positif, didorong peningkatan permintaan terhadap percutian berasaskan pengalaman. 

Malaysia kekal menjadi antara pasaran penting dalam rangkaian pelayaran serantau, bukan sahaja sebagai destinasi persinggahan, malah sebagai pelabuhan pangkalan bagi beberapa laluan utama yang menghubungkan destinasi di Asia Tenggara dan Asia Timur.

Dalam masa sama, pengendali kapal persiaran berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos operasi dan harga bahan api, di samping keperluan memenuhi jangkaan pengguna yang semakin mementingkan pengalaman percutian yang berkualiti serta bernilai.

Presiden StarDream Cruises, MICHAEL GOH berkongsi dengan Wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI mengenai prospek industri pelayaran di rantau ini, kedudukan Malaysia dalam strategi pertumbuhan syarikat serta pendekatan yang diambil bagi mengekalkan daya saing dalam landskap industri yang semakin berkembang.

UTUSAN: Bagaimana anda melihat kepentingan Malaysia kepada StarDream Cruises?

MICHAEL: Malaysia sentiasa menjadi pasaran yang sangat penting kepada kami. Selama lebih 30 tahun, kami telah menempatkan kapal di Malaysia sebagai pelabuhan pangkalan (homeport) dan juga menjadikan negara ini sebagai pelabuhan persinggahan (port of call). Setakat ini, kami beroperasi di lebih tujuh destinasi di Malaysia termasuk Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Langkawi, Pulau Redang, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.

Pada masa sama, kami turut berbincang dengan Sarawak Tourism mengenai potensi menjadikan Sarawak sebagai destinasi persinggahan kapal persiaran. Jika menjadi kenyataan, ia akan menghubungkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur dengan destinasi pelayaran lain di ASEAN.

Bagaimana anda melihat keadaan semasa industri pelayaran di Asia dan di manakah potensi pertumbuhan terbesar dalam beberapa tahun akan datang?

Industri pelayaran di Asia terus berkembang dengan kukuh. Selepas pandemik Covid-19, jumlah penumpang kapal persiaran meningkat dengan ketara kerana pengguna kini semakin memahami pelayaran sebagai pilihan percutian.

Pelayaran sesuai untuk pelbagai segmen pelanggan, sama ada pasangan, keluarga, kumpulan pelbagai generasi mahupun acara korporat. Kini, pengguna bukan sekadar mencari kapal persiaran, tetapi pengalaman yang unik.

Atas sebab itu, Star Cruises dan Dream Cruises terus melabur dalam hiburan baharu, pilihan makanan yang lebih pelbagai serta menawarkan kemudahan yang memenuhi keperluan pelanggan, termasuk pensijilan halal bagi kapal kami. Kami optimis terhadap prospek pertumbuhan industri ini.

Apakah cabaran terbesar yang dihadapi industri pelayaran ketika ini?

Cabaran utama masih berkaitan situasi global seperti konflik geopolitik, termasuk di Asia Barat yang memberi kesan kepada kos bahan api dan kos operasi secara keseluruhan.

Pengguna juga lebih berhati-hati dalam berbelanja. Namun, setiap cabaran turut membuka peluang. Apabila sesetengah pelancong mengurangkan perjalanan jarak jauh, mereka cenderung memilih pelayaran jarak dekat yang lebih mudah diakses dan menawarkan nilai yang baik.

Kami menawarkan pelayaran dua, tiga, lima dan tujuh malam dari Singapura, Hong Kong dan Taiwan dengan pelbagai destinasi seperti Malaysia, Thailand, Bali, Lombok, Jepun, Korea, Sanya dan Xiamen.

Konflik di Asia kembali tegang dan harga bahan api semakin meningkat. Sejauh mana kenaikan kos bahan api serta kos operasi memberi kesan kepada ekonomi jangka panjang industri pelayaran? Bagaimana syarikat menyesuaikan diri dengan turun naik kos tersebut?

Apabila kita bercakap mengenai harga bahan api, ia bukan sahaja memberi kesan kepada industri pelayaran, malah turut menjejaskan syarikat penerbangan dan keseluruhan sektor pengangkutan.

Apabila kos pengangkutan meningkat, ia turut memberi kesan kepada harga makanan dan pelbagai barangan lain. Dalam erti kata lain, kenaikan harga bahan api mencetuskan kesan rantaian terhadap keseluruhan ekonomi.

Namun begitu, sebagai masyarakat Asia, walau apa pun situasinya, kita masih mahu melancong. Apa yang berubah hanyalah corak perjalanan.

Produk kami yang menawarkan pelayaran jarak dekat dengan harga yang berpatutan dan nilai yang baik menjadi pilihan yang sesuai dalam keadaan ekonomi seperti sekarang.

Sudah tentu kenaikan kos memberi kesan kepada industri, tetapi kami perlu memastikan pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan benar-benar berbaloi. Matlamat kami ialah memastikan pelanggan memilih Star Cruises atau Dream Cruises kerana pengalaman yang mereka peroleh, bukannya semata-mata kerana harga.

Sebab itu kami terus memperbaharui program hiburan, meningkatkan pilihan makanan dan memperkenalkan pelbagai aktiviti baharu di atas kapal.

Sebagai contoh, di Genting Dream yang berpangkalan di Singapura, kami memperkenalkan gelanggang pickleball kerana kami sentiasa mengikuti trend dan cuba memenuhi kehendak pelanggan lebih awal daripada jangkaan mereka.

Apakah yang membezakan StarDream Cruises daripada pesaing lain?

Kekuatan utama kami ialah pengalaman pelanggan. Kami tidak menggunakan pendekatan yang sama di setiap pasaran.

Sebagai contoh, apabila kapal kami singgah di Malaysia, kami menyesuaikan pengalaman di atas kapal mengikut cita rasa dan keutamaan pelanggan Malaysia. 

Kami sentiasa memperkenalkan hiburan baharu, pilihan makanan yang lebih menarik dan kemudahan yang memenuhi kehendak pelanggan. Keupayaan untuk menyesuaikan produk mengikut pasaran adalah kelebihan kami.

Adakah syarikat mempunyai rancangan untuk menambah kapal atau mengembangkan armada?

Selepas pandemik, kami berjaya mengembalikan operasi dengan tiga kapal dalam tempoh kira-kira tiga tahun. Buat masa ini, kami tidak menolak sebarang peluang untuk menambah kapal pada masa depan jika keadaan pasaran mengizinkan.

Walaupun tanpa kapal baharu, kami akan terus memperbaharui pengalaman di atas kapal kerana itulah yang paling dihargai pelanggan.

Berapakah kadar penghunian yang diperlukan untuk memastikan operasi kapal persiaran berdaya maju dan bagaimana prestasi syarikat ketika ini?

Industri kapal persiaran sama seperti syarikat penerbangan. Kabin yang tidak dijual tidak boleh disimpan untuk dijual pada hari berikutnya. Oleh itu, matlamat kami adalah memaksimumkan penggunaan setiap kabin bagi setiap pelayaran.

Pada masa ini, kadar penghunian kapal kami melebihi 100 peratus berdasarkan kapasiti penggunaan katil dan kami amat berpuas hati dengan prestasi tersebut.

Apakah komitmen StarDream Cruises terhadap pembangunan industri pelayaran di Malaysia?

Kami amat gembira berada di Malaysia dan ingin berkongsi dengan semua bahawa Star Cruises dan Dream Cruises bukan sekadar menjadikan Malaysia sebagai pelabuhan pangkalan atau pelabuhan persinggahan.

Selama bertahun-tahun, kami turut berusaha membangunkan destinasi pelayaran baharu dan memperkenalkan Malaysia kepada dunia sebagai destinasi kapal persiaran.

Contohnya, kami baru sahaja mula membawa kapal ke Pulau Pangkor dan Pulau Tioman.

Selain itu, kami juga merupakan satu-satunya syarikat pelayaran yang menawarkan pelayaran ke Pulau Redang. Mungkin ia kelihatan mudah apabila hanya menyebut nama destinasi-destinasi tersebut.

Namun, di sebaliknya terdapat banyak usaha, perancangan dan persediaan yang dilakukan oleh pasukan kami sebelum sesuatu destinasi boleh dimasukkan ke dalam jadual pelayaran.

Kami akan terus berusaha membawa lebih banyak destinasi di Malaysia ke peta industri pelayaran dunia dan berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong Star Cruises serta Dream Cruises. – UTUSAN

The post Malaysia pasaran strategik Industri kapal persiaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved