
PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan industri automotif negara menerusi pengeluaran tempatan komponen kritikal kenderaan elektrik (xEV), sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi Kenderaan Generasi Baharu (NxGV).
Perkembangan itu diumumkan sempena lawatan kerja Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ke kompleks pembuatan Proton di Tanjung Malim yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin.
Dalam lawatan itu, delegasi MITI diberi taklimat mengenai kemajuan dan hala tuju perniagaan Proton, termasuk pratonton inisiatif strategik syarikat berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA), sebelum meninjau fasiliti pengeluaran termasuk Kilang Powertrain.
Johari turut merasmikan permulaan pengeluaran tempatan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan Electric Drive Unit (EDU), yang digunakan dalam rangkaian kenderaan elektrik PROTON.
Dengan pencapaian itu, Proton menjadi pengeluar automotif pertama di Malaysia yang menghasilkan kedua-dua komponen kritikal xEV tersebut secara tempatan.
Pengeluaran berkenaan turut meningkatkan kandungan tempatan bagi Proton e.MAS 7 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang dipasang di Malaysia.
Pelaburan bernilai RM121 juta itu turut memperkukuh ekosistem vendor tempatan apabila lapan daripada 16 pembekal yang menyokong fasiliti berkenaan adalah syarikat tempatan, selain dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan potensi eksport negara.
Johari berkata, MITI terus menggalakkan pengeluar peralatan asal (OEM) meningkatkan pelaburan serta mendapatkan sumber komponen secara tempatan bagi operasi pemasangan kenderaan pemasangan tempatan (CKD).
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh keupayaan teknikal negara selain membantu mengurangkan defisit perdagangan Malaysia.
“Saya dimaklumkan bahawa Proton telah mencapai tahap penyetempatan yang tinggi bagi model-model keluarannya dan industri berkaitan yang menyokong usaha itu turut menerima manfaat.
“PROTON hari ini bukan lagi syarikat yang sama seperti dahulu. Kini ia memiliki harta intelek (IP) teknologinya sendiri yang dibangunkan bersama Geely, sekali gus membuktikan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa mampu menghidupkan semula jenama nasional.
“Hari ini syarikat mempunyai kira-kira 9,700 pekerja dengan kapasiti pengeluaran melebihi 150,000 unit,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, syarikat itu kini telah berkembang melangkaui sekadar pengeluaran kenderaan.
“Selama lebih empat dekad, Proton memainkan peranan penting dalam membangunkan industri automotif Malaysia, khususnya selepas program pembangunan kenderaan pertama syarikat secara menyeluruh yang menghasilkan Proton Waja, yang dilancarkan pada Mei 2000.
“Hari ini, peranan tersebut melangkaui pengeluaran kenderaan semata-mata. Kami terus melabur dalam keupayaan kejuruteraan, pembuatan termaju dan pembangunan pembekal tempatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing ketika industri beralih ke arah mobiliti elektrik dan pintar.
“Permulaan pengeluaran tempatan DHT dan EDU merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN
The post Proton perkasa pengeluaran tempatan komponen kritikal EV appeared first on Utusan Malaysia.




