
Sempena lawatan Menteri Pertahanan ke Vietnam dan Kemboja
PETALING JAYA: Malaysia memperkukuh kerjasama strategik pertahanan dengan Vietnam dan Kemboja bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan serantau termasuk serangan siber dan aktiviti zon kelabu.
Itu antara perkara yang dibincangkan dalam lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Vietnam dan Kemboja bermula Rabu hingga semalam sebagai usaha memperkukuh diplomasi pertahanan, pembangunan keupayaan ketenteraan serta kerjasama strategik dalam kalangan negara ASEAN.
Lawatan kerja ke kedua-dua negara itu merupakan manifestasi pelaksanaan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa, selaras dengan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 bagi memastikan Malaysia terus memainkan peranan sebagai rakan strategik yang dipercayai dalam memelihara keamanan, kestabilan dan keselamatan rantau.
Dalam lawatan dua hari ke Hanoi, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang.

Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha ketika kunjungan hormat ke negara
terbabit, semalam.
Mohamed Khaled berkata, dalam pertemuan dengan Minh Hung, kedua-dua negara membincangkan cabaran keselamatan masa kini yang tidak lagi tertumpu kepada ancaman ketenteraan konvensional, sebaliknya merangkumi dimensi baharu yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh serta kerjasama rentas sempadan.
Menurutnya, kedua-dua negara turut berkongsi pandangan mengenai keperluan untuk terus berpegang kepada prinsip ASEAN melalui dialog dan diplomasi sebagai asas dalam mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau.
“Antaranya, cabaran pertahanan semasa termasuk persaingan kuasa besar, aktiviti zon kelabu, ancaman siber, kecerdasan buatan (AI), peperangan moden dan kognitif serta gangguan rantaian bekalan.
“Dalam persekitaran yang semakin kompleks, ASEAN perlu terus memperkukuh daya tahan serantau secara kolektif melalui kerjasama yang lebih erat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia-Vietnam yang diperbaharui pada 2023 akan terus menjadi pelan hala tuju untuk membawa hubungan pertahanan kedua-dua negara ke tahap yang lebih strategik.
“Kedua-dua negara turut bersetuju memperluaskan kerjasama dalam bidang keselamatan maritim, pembangunan keupayaan, teknologi dan industri pertahanan sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh keamanan serta kemakmuran rantau,” katanya.
Dalam pertemuan bersama Van Giang, beliau mencadangkan supaya mekanisme kerjasama diperkasakan menerusi penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi memastikan setiap inisiatif yang dipersetujui dapat diselaras dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, pelbagai bidang kerjasama turut dibincangkan termasuk latihan ketenteraan dua hala, perkongsian risikan, kesedaran domain maritim, operasi menyelamat kapal selam, AI, industri pertahanan serta usaha menangani ancaman keselamatan baharu.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan strategik serantau termasuk isu Laut China Selatan. Malaysia menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan perlu terus dipelihara melalui dialog, diplomasi dan undang-undang antarabangsa selain menyokong pemuktamadan Kod Tatalaku (COC) yang efektif dan bermakna.
“Saya menghargai sambutan positif TYT Jeneral Phan terhadap pelbagai cadangan yang dikemukakan Malaysia, di samping komitmen beliau untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
“Saya yakin komitmen bersama ini akan terus memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran ASEAN,” katanya.
Sepanjang lawatan itu, Mohamed Khaled turut menghadiri majlis makan malam bersama Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai di Rumah Malaysia di Hanoi bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa dan usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Beliau juga menghadiri istiadat peletakan kalungan bunga di Monument to the Heroes and Martyrs of Bac Son Street serta Ho Chi Minh Mausoleum sebagai tanda penghormatan.
Meneruskan misi diplomasi pertahanan, Mohamed Khaled kemudian mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kemboja semalam dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua negara memberi tumpuan kepada pemuktamadan draf MoU Kerjasama Pertahanan yang dijangka membuka ruang kerjasama baharu termasuk memperluaskan penyertaan pegawai tentera Kemboja dalam Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP).
Mohamed Khaled kemudian mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Thipadei Hun Manet bagi memperkukuh kerjasama menerusi platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus sebagai wadah utama mengekalkan keamanan di Asia Tenggara berteraskan kepusatan ASEAN.
“Kerjasama itu turut diperkukuh menerusi penekanan terhadap mekanisme Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) sebagai bukti kesiapsiagaan rantau dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
“Perbincangan turut menyentuh pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi memperkukuh daya tahan industri pertahanan tempatan melalui kerjasama strategik, pelaburan asing serta pembangunan kapasiti industri,” katanya. – UTUSAN
The post Malaysia perkukuh kerjasama strategik pertahanan serantau appeared first on Utusan Malaysia.






