Malaysia perkukuh keselamatan maritim dan industri pertahanan bersama Kemboja, Vietnam

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia perkukuh keselamatan maritim dan industri pertahanan bersama Kemboja, Vietnam

PETALING JAYA – Malaysia memperkukuh jaringan diplomasi pertahanan di Asia Tenggara menerusi siri lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Vietnam dan Kemboja.

Lawatan yang bermula sejak 5 Ogos lalu dan berakhir semalam itu memberi tumpuan kepada ancaman keselamatan baharu, kerjasama maritim, pembangunan keupayaan serta industri pertahanan.

Ia turut memperlihatkan komitmen Malaysia untuk memperkasakan kerjasama pertahanan dengan negara rakan ASEAN, selain memastikan ASEAN kekal sebagai platform utama dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

Menerusi siri lawatan ke Vietnam, Mohamed Khaled telah meng­adakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Vietnam, TYT Lê Minh Hung sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Vietnam, TYT Jeneral Phan Văn Giang.

Ketika pertemuan bersama Lê Minh Hung, beliau memberitahu, mereka berkongsi pandangan strategik yang sama serta berpegang kepada prinsip ASEAN de­ngan dialog dan diplomasi sebagai asas dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai cabaran pertahanan semasa, termasuk persaingan kuasa besar, aktiviti grey zone, ancaman siber, AI (kecerdasan buatan), cognitive warfare dan gangguan rantaian bekalan.

“Dalam persekitaran yang semakin kompleks, ASEAN perlu terus memperkukuh collective regional resilience melalui kerjasama yang lebih erat,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Image from: Malaysia perkukuh keselamatan maritim dan industri pertahanan bersama Kemboja, Vietnam
Mohamed Khaled bertemu Lê Minh Hung dalam sesi lawatan selama dua hari ke Vietnam.

Dalam pada itu, semasa mesyuarat bersama Phan Văn Giang, ke­dua-dua negara bersetuju meneroka ruang baharu bagi memperkukuh pembinaan kapasiti anggota tentera menerusi pertukaran latihan yang lebih aktif dan konsisten.

Mohamed Khaled turut mencadangkan penubuhan mekanisme High-Level Committee bagi menyelaras pelaksanaan semua inisiatif kerjasama secara lebih berkesan.

“Antara bidang yang dikenal pasti untuk diperkasakan ialah latihan ketenteraan dua hala, maritime domain awareness, operasi menyelamat kapal selam, industri pertahanan, perkongsian risikan serta pembangunan teknologi pertahanan,” katanya.

Malah beliau memberitahu, ke­dua-dua pihak turut membincangkan perkembangan strategik di Laut China Selatan, dengan Malaysia menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan perlu dipelihara me­lalui dialog, diplomasi serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap pemuktamadan Code of Conduct (COC) yang efektif dan bermakna, selain menegaskan kepentingan ASEAN mengekalkan perpaduan, autonomi strategik serta peranan utamanya dalam memelihara keamanan serantau.

“Vietnam turut menyatakan sokongan terhadap penegasan Malaysia mengenai kepentingan kerjasama maritim sedia ada serta komitmen memperkukuh platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus selaras dengan prinsip Kepusatan ASEAN,” katanya.

Sepanjang lawatan itu, Mohamed Khaled turut menghadiri istiadat peletakan kalungan bunga di Monument to the Heroes and Martyrs of Bac Son Street serta Ho Chi Minh Mausoleum sebagai tanda penghormatan.

Image from: Malaysia perkukuh keselamatan maritim dan industri pertahanan bersama Kemboja, Vietnam
Mohamed Khaled menerima tabik hormat dalam sesi lawatan pada Khamis lalu.

Sementara itu, di Kemboja, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, TYT Jeneral Tea Seiha dengan tumpuan kepada status rundingan draf MoU Kerjasama Pertahanan antara ke­dua-dua negara.

Pemuktamadan MoU berke­naan dilihat mampu membuka ruang kerjasama baharu yang lebih dinamik, termasuk memperkasakan penglibatan pegawai tentera Kemboja dalam Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun.

Mohamed Khaled turut meng­adakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Thipadei Hun Manet bagi menyatakan kesediaan Malaysia mempercepatkan penyelarasan strategik dalam bidang latihan ketenteraan serta pembangunan industri pertahanan.

Dalam konteks keselamatan serantau, Malaysia dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk terus mengutamakan ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus sebagai wadah utama mengekalkan keamanan di Asia Tenggara berasaskan prinsip Kepusatan ASEAN.

Kerjasama itu diperkukuh menerusi penekanan terhadap meka­nisme ASEAN Observer Team (AOT) sebagai manifestasi kesiapsiagaan negara anggota untuk saling membantu dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Siri lawatan kerja ke Vietnam dan Kemboja itu selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030, khususnya Teras 6 berkaitan pengukuhan hubungan pertahanan antarabangsa dalam menjamin kedaulatan negara.

Ia turut merealisasikan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara iaitu Perkongsian Berwibawa se­perti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, sekali gus mencerminkan pendekatan Malaysia memperkukuh keselamatan negara menerusi jaringan kerjasama strategik dengan negara sahabat.

Melalui pendekatan diplomasi pertahanan yang lebih tersusun, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh ketahanan kolektif ASEAN, di samping menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau.

Turut mengiringi Mohamed Khaled dalam lawatan berkenaan ialah Panglima Tentera Laut, Tan Sri Zulhelmy Ithnain TLDM dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd. Yani Daud.

 

 

 

The post Malaysia perkukuh keselamatan maritim dan industri pertahanan bersama Kemboja, Vietnam appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved