Anwar: Peruntukan pertahanan naik dalam Belanjawan 2027

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 9:27 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Anwar: Peruntukan pertahanan naik dalam Belanjawan 2027

PM Anwar Ibrahim umum peruntukan Kementerian Pertahanan bakal dipertingkat dalam Belanjawan 2027 bagi perkasa kesiapsiagaan ATM dan kebajikan anggota.

MELAKA: Kerajaan akan terus berikhtiar meningkatkan peruntukan sektor pertahanan negara menerusi Belanjawan 2027, bagi memperkasakan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain memastikan kebajikan anggota keselamatan terus terbela.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu wajar, bagi menjamin keamanan negara yang disifatkannya sebagai aset paling berharga dan perlu dipertahankan setiap masa.

“Meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara itu adalah perlu dilaksana setiap masa, kerana pertempuran itu tidak berlaku dalam keadaan diduga. Kita tak menunggu umpamanya ada negara isytihar perang baru kita nak berpeluh.

“Sebab itu juga saya mahu pertahankan kaedah pembelian, perolehan senjata dan alat ketenteraan cara teratur, cara telus, elak daripada apa istilah yang orang tak suka iaitu istilah ‘sakau’, beli guna agensi-agensi di luar dengan komisyen yang lebih,” kata beliau berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penambahan peruntukan tersebut turut merangkumi aspek kebajikan anggota, termasuk usaha menambah baik kuarters perumahan, pembinaan hospital baharu serta penyelenggaraan kemudahan asas seperti bekalan air.

“Sebab itu Kerajaan MADANI dalam tempoh tiga tahun yang lepas, kita naikkan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan itu 35 peratus lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Ini bukannya angka kecil. Cuma ia tidak diketahui. Sebab itu saya beritahu kadang-kadang anak-anak harus tahu. Orang boleh bicara kita nak sokong, kita beri kerjasama, kita beri perhatian. Tapi perhatian apa kalau kelengkapan itu (dibiarkan) buruk, kalau cara perolehan itu penuh dengan kontroversi,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata usaha meningkatkan peruntukan itu boleh dilakukan melihatkan kepada gambaran ekonomi negara yang bertambah baik, disokong pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan asing serta kadar inflasi yang terkawal.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Belanjawan 2027 dijadualkan pada 9 Okt.

Pada majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM147,000 kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) serta dana RM1 juta bagi tujuan penyelenggaraan masjid dan surau di empat kem tentera di Melaka iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved