Malaysia perkukuh peralihan tenaga, TNB labur RM43 bilion naik taraf grid

LocalEnvironment
3 Jun 2026 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia perkukuh peralihan tenaga, TNB labur RM43 bilion naik taraf grid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyampaikan ucaptama khas pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. Foto Bernama
Image from: Malaysia perkukuh peralihan tenaga, TNB labur RM43 bilion naik taraf grid
Fadillah (tengah) melawat ke reruai disediakan selepas merasmikan Energy Transition Conference 2026 (ETCon 2026) di ibu negara pada Rabu - Foto Asril Aswandi Mohd Shukor

KUALA LUMPUR - Malaysia terus memperkukuh agenda peralihan tenaga negara menerusi pelaksanaan dasar yang jelas serta pelaburan strategik bagi memastikan sistem tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peralihan tenaga bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya keperluan strategik ketika dunia berdepan peningkatan permintaan tenaga, ketidaktentuan geopolitik serta hakikat bahawa sumber bahan api fosil adalah terhad.

Beliau berkata, anggaran semasa menunjukkan rizab minyak dunia mungkin bertahan sekitar 50 tahun, gas asli kira-kira 50 tahun dan arang batu sekitar 130 tahun pada kadar pengeluaran semasa.

"Persoalannya bukan sekadar berapa lama bahan api ini akan bertahan, tetapi bagaimana kita dapat mengurus peralihan kepada sistem tenaga yang lebih mampan secara berkesan dan adil," ujarnya.

**media[3539049]**

Beliau juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi (PETRA) berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Energy Transition Conference 2026 (ETCon 2026) di ibu negara pada Rabu.

Fadillah berkata, Malaysia sejak awal 1990-an telah mengiktiraf kepentingan tenaga boleh diperbaharui (TBB) apabila memperkenalkannya sebagai "bahan api kelima" di bawah Dasar Tenaga Negara, bersama minyak, gas, arang batu dan hidro.

Beliau berkata, portfolio TBB negara kini merangkumi tenaga solar, hidro kecil, biojisim dan biogas, dengan tenaga solar muncul sebagai segmen yang berkembang paling pesat.

Ujarnya, berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diperkenalkan pada ETCon 2023, Malaysia terus komited meningkatkan perkongsian tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga negara.

"Hasil komitmen kukuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rakan-rakan strategik, negara berjaya mencapai kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui melebihi 13.3 gigawatt setakat 2025," ujarnya lagi.

Beliau berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut melancarkan Pelan Strategik 2026-2030 bagi mempercepatkan peralihan tenaga dan transformasi air negara selaras dengan matlamat mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050.

Menurutnya, pelan lima tahun itu merangkumi 119 program dan inisiatif dengan 133 sasaran yang boleh diukur, termasuk menaik taraf grid elektrik, pendigitalan sektor tenaga serta pengurusan permintaan tenaga yang lebih cekap dan responsif.

Fadillah berkata, TNB akan melabur RM43 bilion antara 2025 hingga 2027 untuk menaik taraf dan memperkukuh sistem grid elektrik negara, termasuk mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan agenda peralihan tenaga negara.

Beliau berkata, permintaan elektrik di Asia Tenggara dijangka meningkat antara empat hingga lima peratus setahun dalam tempoh sedekad akan datang, didorong oleh perindustrian, urbanisasi, infrastruktur digital, kenderaan elektrik, keperluan penyejukan dan pusat data AI.

Sehubungan itu, katanya, inisiatif ASEAN Power Grid menjadi platform penting bagi memperkukuh perdagangan elektrik rentas sempadan, meningkatkan keselamatan tenaga serantau dan menyokong masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyediakan hala tuju yang jelas kepada pelabur melalui instrumen seperti NETR, namun kejayaan agenda peralihan tenaga memerlukan pelaksanaan yang berdisiplin serta kerjasama erat antara kerajaan, utiliti, pemaju dan institusi kewangan.

"Ukuran sebenar kejayaan bukanlah berapa banyak gigawatt yang dipasang, berapa banyak projek dilaksanakan atau berapa banyak modal yang berjaya ditarik masuk.

"Ia bergantung kepada sama ada generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang lebih berdaya tahan, lebih makmur dan lebih selamat daripada yang kita warisi hari ini kerana peralihan tenaga bukan sekadar mengubah cara kita menjana tenaga, tetapi memperkasa masa depan yang lebih baik," tambahnya.