SuRIA pacu penggunaan solar kediaman; rebat RM600 bagi setiap kapasiti solar 1kWac

LocalEnvironment
28 May 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SuRIA pacu penggunaan solar kediaman; rebat RM600 bagi setiap kapasiti solar 1kWac Image from: SuRIA pacu penggunaan solar kediaman; rebat RM600 bagi setiap kapasiti solar 1kWac johardy28/05/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memperkenalkan program Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home yang akan bermula pada 1 Jun 2026.

 

Inisiatif itu menawarkan rebat kepada pengguna domestik yang memasang sistem solar menerusi Program Solar Accelerated Transition Action sebelum 31 Disember 2026.

 

Pemohon yang layak boleh menerima rebat RM600 bagi setiap kapasiti solar 1kWac yang dipasang, tertakluk kepada had maksimum RM3,000 atau sehingga 5kWac.

 

Rebat akan diberikan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

 

Inisiatif SuRIA dijangka memberi manfaat kepada pemasangan solar kediaman sehingga 250MWac berdasarkan kadar rebat RM600 bagi setiap kWac dengan jumlah peruntukan RM150 juta.

 

Sama seperti skim Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) sebelum ini, SuRIA berpotensi mempercepatkan penggunaan solar bumbung kediaman walaupun kadar rebatnya lebih rendah berbanding SolaRIS.

 

Di bawah SolaRIS, insentif diberikan sebanyak RM1,000 bagi setiap kWac dengan had maksimum RM4,000.


 

Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home

 

Kos elektrik meningkat dorong permintaan solar

Firma penyelidikan TA Securities berkata, pelaksanaan SuRIA tepat pada masanya susulan peningkatan kos elektrik grid akibat perang Iran.

 

Berdasarkan unjuran terkini Tenaga Nasional Berhad, kadar Automatic Fuel Adjustment (AFA) dijangka berubah daripada rebat -0.47 sen/kWh pada April 2026 kepada caj tambahan +1.38 sen/kWh pada Mei 2026 dan +2.92 sen/kWh pada Jun 2026 berikutan kenaikan kos bahan api.

 

Perubahan itu merupakan peningkatan ketara berbanding kadar rebat AFA sehingga -4.99 sen/kWh yang dicatatkan lebih awal tahun ini.

 

Bagaimanapun, TA Securities menjelaskan bahawa AFA hanya terpakai kepada isi rumah dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWh sebulan.

 

Peluang EPCC cecah RM1 bilion

TA Securities menganggarkan pemasangan solar kediaman sebanyak 250MWac yang disokong SuRIA mampu menjana peluang kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai antara RM875 juta hingga RM1 bilion.

 

Firma itu menjangka Northern Solar Holdings Berhad dan Verdant Solar menjadi antara penerima manfaat utama memandangkan pendedahan tinggi kedua-dua syarikat terhadap segmen solar bumbung.

 

Syarikat sedia ada seperti Samaiden Group Berhad, Sunview Group Berhad, SLVEST Holdings Berhad dan Pekat Group Berhad turut dilihat berpotensi mendapat manfaat, walaupun pada skala lebih kecil kerana buku tempahan masing-masing lebih banyak dipacu projek solar berskala utiliti.

 

“Kami mengekalkan pandangan Overweight terhadap sektor utiliti berasaskan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran penjanaan elektrik serta pembangunan kapasiti penjanaan kuasa baharu berasaskan gas,” katanya.

 

TA Securities turut menekankan pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) pada kadar rekod, pengembangan perbelanjaan modal grid bagi menyokong peralihan tenaga dan pertumbuhan permintaan, selain potensi peluasan infrastruktur bekalan gas. - DagangNews.com

Terkini standard