Malaysia Perlu Kuasai Teknologi Sendiri - PM

LocalTechnology
7 Sep 2026 • 2:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malaysia Perlu Kuasai Teknologi Sendiri - PM

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu berubah menjadi negara yang mampu mencipta, memiliki dan menguasai teknologi sendiri, bukan sekadar menjadi pengguna teknologi yang dihasilkan negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia kini berada pada titik penting dalam pembangunan negara dan perlu membina keupayaan teknologi sendiri bagi memastikan daya saing negara terus diperkukuh.

“Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi yang dicipta oleh pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang sempena peringkat akhir Cabaran Sains Kebangsaan Piala Perdana Menteri di sini, hari ini.

Anwar berkata pendidikan sains tidak seharusnya hanya tertumpu kepada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan, sebaliknya perlu membentuk pemikiran yang kritis terhadap fakta, terbuka kepada idea baharu, berani mencuba dan jujur apabila percubaan gagal.

Menurutnya, isu seperti sekuriti makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab memerlukan asas pengetahuan yang kukuh serta keberanian membuat keputusan berasaskan bukti.

“Namun setiap cabaran juga adalah peluang untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Semua penyelesaian besar bermula daripada masalah kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata penyertaan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus pada 2024.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan dalam aliran sains tulen masih sekitar 15.8 peratus, menunjukkan masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan pelajar untuk mendalami bidang berkenaan.

“Tugas kita bukan sekadar menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM. Kita perlu memastikan mereka terus bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Akademi Sains Malaysia (ASM), Kementerian Pendidikan serta rakan strategik perlu menjadikan Cabaran Sains Kebangsaan sebagai laluan pembangunan bakat yang berterusan.

Anwar berkata peserta berpotensi, khususnya dari kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak serta keluarga berpendapatan rendah, perlu terus dihubungkan dengan mentor, makmal, biasiswa dan rangkaian inovasi.

“Bakat ada di mana-mana. Tanggungjawab kita adalah memastikan peluang juga ada di mana-mana.

“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya. - Getaran, 7 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved